MBMB digesa tarik lesen penganjur edar arak percuma

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menggesa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil tindakan tegas dan setimpal terhadap penganjur pasar malam Jonker Walk.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Low Chee Leong, berkata beliau begitu kecewa dan berterusan mengutuk secara keras perbuatan pihak berkenaan yang secara tidak langsung telah mencalarkan dan mengheret nama kerajaan negeri.

Menurutnya, tindakan terbabit tidak cukup dengan hanya mengenakan bayaran kompaun sahaja, malah lesen penganjuran mereka juga perlu ditarik serta merta.

Katanya, beliau telah merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan isu itu, dan didapati bahawa penganjur Pasar Malam Jonker Walk telah melanggari syarat lesen yang ditetapkan di bawah Undang-undang Kecil 5(2), UUK Pasar Malam/Sehari, MBMB 2010.

"Saya minta MBMB tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur pasar malam Jonker Walk dengan menarik balik lesen mereka.

"Dengan apa alasan pun tidak boleh diterima kerana sensitiviti agama di negara yang berbilang agama dan bangsa harus dijaga, dan hukuman itu perlu menjadi iktibar agar tidak berulang," katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian menyiarkan tindakan penganjur pasar malam Jonker Walk yang didakwa membenarkan aktiviti pengedaran minuman alkohol secara percuma dikritik dan tidak seharusnya berlaku.

Perbuatan itu bukan sahaja dikritik, namun seolah-olah tiada nilai sensitiviti agama lebih-lebih lagi diadakan di depan pekarangan sebuah gereja di kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Edar arak percuma di bandar Melaka tidak patut berlaku!

Artikel Berkaitan: