Perbicaraan penuh kes saman peguam terhadap Bersatu pada 2024

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Mohamed Haniff Khatri Abdulla
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saman yang difailkan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga yang lain berhubung dakwaan yuran guaman berjumlah RM12.5 juta yang tidak dijelaskan akan melalui perbicaraan penuh pada Mac 2024.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Bersatu; Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari, Datuk Mohamed Salleh Bajuri berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menolak permohonan plaintif (Mohamed Haniff) untuk penghakiman terus dengan kos RM3,000.

"Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 hingga 24 Mac 2024 untuk perbicaraan penuh dan kes pengurusan ditetapkan pada 18 Januari tahun yang sama," kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding dijalankan secara dalam talian pada Selasa yang turut dihadiri Mohamed Haniff dan peguamnya, Nurul Huda Razali.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Mohamed Haniff selaku plaintif telah memfailkan saman itu pada Julai tahun lepas, mendakwa beliau telah membantu parti itu dalam hal undang-undang sejak penubuhannya pada 2016, di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Plaintif berkata, sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau mewakili parti itu dalam saman kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa terhadap Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pentadbirannya.

Mohamed Haniff mendakwa, beliau juga memberikan nasihat undang-undang dan membantu merangka perlembagaan Bersatu dan surat-menyurat selain membantu dalam penubuhan jawatankuasa pro tem parti itu dan turut menghadapi cabaran terhadap pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan RoS semasa Najib menjadi Perdana Menteri.

Tambah peguam itu, beliau juga turut memberi nasihat kepada Bersatu dari semasa ke semasa sehingga Februari 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan ‘Langkah Sheraton’.

Mohamed Haniff mendakwa, beliau menghantar invois pada 11 Januari 2021 kepada Bersatu untuk perkhidmatan guamannya yang telah beliau berikan dari 2016 hingga 23 Februari 2020, dan terdapat pengakuan penerimaan oleh parti tersebut, bagaimanapun tiada respons daripada parti berhubung perkara itu.

Antara lain, plaintif memohon perintah mahkamah untuk parti itu dan pemegang jawatannya membayar RM12.5 juta itu dengan faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, Bersatu dan pemegang jawatannya dalam penyataan pembelaan mereka mendakwa bahawa tiada perjanjian antara peguam dan parti itu dan mendakwa semua perkhidmatan yang dijalankan Mohamed Haniff adalah sukarela tanpa mengharapkan bayaran.

Defendan juga mendakwa bahawa perkhidmatan guaman hanya diberikan kepada bekas Pengerusi parti, Dr Mahathir kerana plaintif adalah penasihat undang-undangnya. - Bernama