Penularan HFMD di sekolah, KPM minta pandangan KKM

Mohamad ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), di Kota Kinabalu.
Mohamad ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sebarang tindakan berkaitan penularan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, KKM juga yang akan melakukan penilaian untuk memutuskan sama ada kes HMFD yang meningkat di Sabah membimbangkan atau sebaliknya.

"Setakat ini kita akan minta pandangan KKM, jadi KKM yang memutuskan serius atau tidak kerana penilaian dilakukan KKM bukan KPM.

"Kita akan minta KKM (jika kes meningkat) pandangan. Apa saja pandangan KKM, kita akan terima sebab merekalah yang bertanggungjawab sama ada serius atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, beliau memaklumkan KPM akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi memantau jangkitan HMFD dalam kalangan murid sekolah.

Mohamad juga berharap, pihak pentadbiran sekolah serta ibu bapa mengambil perhatian dengan keadaan semasa penyakit itu.

"Saya minta ibu bapa dan semua pentadbiran sekolah supaya mengambil perhatian perkara ini khususnya dalam menjaga kebersihan serta langkah pencegahan seperti disarankan KKM.

"Kita akan terus bekerja rapat dengan KKM dan mendapatkan nasihat supaya tidak berlaku penularan yang serius di sekolah-sekolah. Saya yakin KKM sudah bersedia dan kita juga bersedia untuk menghadapi selain mengambil langkah yang perlu untuk pencegahan," katanya.

Jangkitan penyakit HFMD di Sabah ketika ini mula menunjukkan trend peningkatan bermula pada Minggu Epidemiologi 14 (ME 14/2022) iaitu dari 3 hingga 9 April lalu dan semakin meningkat dengan ketara pada ME ke-20 dari 15 hingga 21 Mei.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin memaklumkan, kumulatif kes HFMD di Sabah sehingga ME ke-20 adalah sebanyak 3,351 kes.