Pegawai kanan polis didakwa terima rasuah RM1.35j, selesai kes dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang pegawai kanan polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah wang berjumlah RM1.35 juta dari dua individu sebagai balasan menyelesaikan kes pengedaran dadah, dua tahun lalu.

ASP Gan Chee Liang, 36, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Chee Liang sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah menerima suapan untuk diri sendiri wang tunai RM800,000 dan RM175,000 daripada Lim Chok Siong, 41, sebahagian daripada RM1.5 juta sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara iaitu kononnya sebagai balasan menyelesaikan kes Victor Goh, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di jalan 'PJ ByPas', Bangsar, pada 29 Mac 2017 dan di papan tanda BHP, Stesen Minyak BHP, Jalan Bunga Mawar, Taman Muda, Ampang, Selangor, pada 30 Mac 2017.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, pegawai itu didakwa menerima suapan wang sebanyak RM300,000 dan RM75,000 daripada Yeong Kok Wah, 51, sebahagian daripada jumlah RM375,000, yang telah dipersetujui sebagai upah menyelesaikan kes Victor Goh di bawah seksyen yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Holiday Palace Reflexology, Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu, di sini pada 28 April dan 13 Jun 2017.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warganegara Malaysia mengambil kira tertuduh berhadapan dengan empat pertuduhan yang melibatkan jumlah jutaan ringgit.

Artikel Berkaitan:

Azman membenarkan pegawai polis itu diikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia selain mengarahkan dia menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kesnya selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 April depan.