Agensi pelancongan palsu perdaya warga Korea Selatan

Kamarul Zaman (kiri) menyerahkan sijil kepada penerima dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di IPK, Johor Bahru, pada Selasa.
Kamarul Zaman (kiri) menyerahkan sijil kepada penerima dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di IPK, Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menerima lima laporan berhubung penipuan melibatkan penjualan tiket penerbangan ke Korea Selatan yang menyasarkan warganegara berkenaan di negeri ini sejak awal tahun hingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket penipuan itu yang kononnya menawarkan harga tiket lebih murah dikesan bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penipuan melibatkan kerugian bernilai RM59,125 itu didalangi sepasang lelaki dan wanita, masing-masing seorang warga tempatan dan seorang warganegara Korea.

"Mereka menyasarkan rakyat negara berkenaan yang mahu pulang ke negara asal. Mangsa bagaimanapun sedar ditipu selepas mereka membuka akaun bank atas nama agensi pelancongan palsu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) di sini, pada Selasa.

Difahamkan, suspek yang masing-masing berusia 38 tahun sudah ditahan polis di Tanjung Aru, Sabah, Sabtu lalu dan akan dibawa ke Johor untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada 11 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima 20 laporan berhubung penipuan berkenaan dengan kerugian bernilai RM233,954.

Beliau dilaporkan berkata, penipuan itu diiklankan dalam laman web http://cafe.naver.com/mymalaysia yang memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan didakwa dikendalikan syarikat Apsan Travel and Tour Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, kes penipuan itu tidak melibatkan mangsa yang membuat laporan di Johor sahaja tetapi di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur dan Sabah.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan pengusaha kilang yang membuat tempahan di luar negara untuk membeli barang supaya menyemak terlebih dahulu emel yang diterima bagi mengelak ditipu.

Katanya, terdapat tiga kes syarikat tempatan diperdaya menerusi modus operandi tersebut membabitkan kerugian RM750,00, RM780,000 dan RM115,000 dengan jumlah kerugian keseluruhan RM1.5 juta.

"Saya nasihatkan pengusaha-pengusaha ini pastikan dan perhatikan betul setiap emel atau rujukan yang diterima, contohnya jika dapat emel tengok dengan teliti termasuk titik atau koma dan sebagainya. Kita perhatikan dalam emel yang ditipu tiada perkara asal itu," katanya.