Perkasa peluang kerja, selesai isu pekerja 'hijrah' ke Singapura

Mohd Hairi (tengah) menyampaikan sijil Pro-Mahir SMI Johor kepada salah seorang penerima pada majlis berkenaan.
Mohd Hairi (tengah) menyampaikan sijil Pro-Mahir SMI Johor kepada salah seorang penerima pada majlis berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu janaan tenaga kerja tempatan selain peluang kerjaya yang lebih luas di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat menstruktur kaedah terbaik mengurangkan tenaga kerja tempatan keluar ke Singapura untuk mencari sumber pendapatan.

Beliau berkata, setakat ini kerangka dan pembentukan organisasi sudah selesai dan menunggu proses pemakluman untuk dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat.

"Bila sempadan (Malaysia-Singapura) telah dibuka, banyak pekerja kita sudah ke sana, jadi saya mengharapkan Unit Strategik Modal Insan (SMI) Negeri Johor bersama agensi-agensi sumber manusia dapat mencari solusi bersama bagaimana kaedah untuk buka peluang kerjaya.

"Buat masa ini, kadar pengangguran di negeri ini adalah 3.4 peratus daripada jumlah populasi rakyat Johor.

"Jadi jawatankuasa khas ini juga berfungsi untuk mengelakkan kadar ini daripada terus meningkat sekali gus mencambah idea untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Pro-Mahir dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor di sini pada Selasa.

Mohd Hairi berkata, antara diberikan tumpuan adalah pemerkasaan peluang pekerjaan bagi sektor perladangan, perkhidmatan dan perindustrian.

Menurut beliau, isu kemasukan tenaga kerja ke Singapura itu juga dilihat adalah sesuatu yang boleh membawa implikasi besar kerana memberi kesan kepada faktor kurangnya tenaga kerja tempatan di negeri ini.

"Sebenarnya jika kita lihat, masalah ini hanya berlaku di Johor kerana kedudukan kita yang bersebelahan dengan Singapura. Di negeri lain, perkara seperti ini tidak seteruk yang berlaku.

"Kita faham dengan kedudukan mata wang apabila pekerja kita dapat peluang ke sana, mereka terus pergi tetapi tindakan ini secara tidak langsung telah mengakibatkan peningkatan pengurangan pekerja di Johor," katanya.

Beliau berkata, isu itu juga kemudiannya kerap menjadi aduan para pengusaha industri dan majikan yang mana meminta kerajaan negeri menyediakan satu solusi untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Ramai juga pengusaha terutama daripada kalangan industri peladang yang bertanyakan kepada saya bagaimana status pekerja asing kerana mereka kurang pekerja.

“Buat masa ini apa yang saya boleh maklumkan, semua itu adalah polisi dan dasar daripada Kerajaan Pusat. Jadi kita perlu menunggu garis panduan yang akan dikeluarkan dahulu.

"Apa pun kerajaan negeri melihat ini satu isu yang besar dan kita akan bersama-sama untuk menyelesaikannya,” katanya