Kelantan peruntuk RM500,000 untuk wanita jalani mamogram tahun ini

Datuk Mumtaz Md Nawi
Datuk Mumtaz Md Nawi
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membolehkan golongan wanita di negeri ini melakukan ujian saringan pengesanan awal barah payudara atau mamogram sepanjang tahun ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, menerusi inisiatif itu pihaknya menjalin kerjasama dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian yang dapat memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 wanita.

"Menerusi peruntukan ini kerajaan negeri akan menanggung kos saringan awal untuk melakukan mamogram. Mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita untuk mendapatkan tarikh bagi melakukan ujian di Hospital USM.

"Ketika melakukan saringan awal jika didapati terdapat ketulan dan simptom maka rawatan dan saringan kali kedua perlu dilakukan untuk mengesahkan sama ada ia benar-benar kanser atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Saringan Reproduktif Wanita Sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mumtaz berharap peruntukan tersebut dapat dihabiskan tahun ini kerana inisiatif berkenaan tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan wanita di Kelantan.

"Kita beranggapan mungkin disebabkan masih ramai yang takut untuk melakukan saringan mamogram kerana takut ia menyakitkan selain kekangan masa.

"Untuk melakukan ujian saringan ini di klinik swasta memakan kos yang agak tinggi. Jadi rebutlah inisiatif yang diberikan kerajaan negeri ini untuk membantu mempermudahkan urusan menjalani ujian saringan tersebut," katanya. - Bernama