Peniaga ikan umpama 'hidup segan, mati tak mahu'

Mohamad Nasir membersihkan ikan yang dibeli oleh pelanggan. Gambar kecil dari kiri: Roslan, Mohamad Nasir
Mohamad Nasir membersihkan ikan yang dibeli oleh pelanggan. Gambar kecil dari kiri: Roslan, Mohamad Nasir
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga-peniaga ikan di sekitar Pengkalan Chepa di sini mula merasakan bebanan dalam perniagaan mereka yang diibaratkan seperti 'hidup segan, mati tak mahu' berikutan harga makanan sumber protein itu yang tidak stabil selain kenaikan berterusan sehingga 20 peratus di negeri ini.

Seorang penjual ikan, Mohamad Nasir Hassan, 40, berkata, peningkatan harga pelbagai jenis ikan berlaku sejak lima tahun lalu dan keadaannya semakin ketara sejak perayaan Aidilfitri lalu.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan golongan peniaga terutama yang berskala kecil hingga merisikokan mereka untuk gulung tikar.

“Harga ikan yang kami peroleh daripada pembekal naik sehingga 20 peratus dengan paling ketara membabitkan ikan selayang dan selar.

“Sebelum ini, harga ikan selayang dijual RM8 sekilogram dan sekarang sudah mencecah RM12 sekilogram manakala ikan selar pula sebelum ini hanya RM10 tetapi kini RM20 sekilogram. Selain itu bekalan ikan pula susut sehingga 30 peratus daripada biasa,” katanya ketika ditemui di pasar cabang tiga berhampiran pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa.

Lebih menyedihkan apabila situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini turut mengakibatkan seorang penjual ikan, Roslan Yusoff, 55, di Parang Puting, di sini, terpaksa gulung tikar sejak hampir setahun yang lalu.

Katanya, kenaikan harga kesemua jenis ikan menyebabkan pelanggan mula berkurangan datang ke gerainya dan pernah meraih pendapatan RM20 sehari

"Jadi dengan hasil jualan ini saya rasa tak berbaloi untuk terus berniaga kerana mengalami banyak kerugian.

Mohamad Nasir ketika melayani pelanggannya di pasar cabang tiga, di Pengakalan Chepa, Kota Bharu.
Mohamad Nasir ketika melayani pelanggannya di pasar cabang tiga, di Pengakalan Chepa, Kota Bharu.

“Walaupun sudah sudah 10 tahun berniaga dengan keadaan semasa yang tak menentu, saya tidak dapat mempertahankan perniagaan ini sehinggalah terpaksa berhenti daripada menjual ikan selepas Aidiladha pada tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga ikan bakar, Mohd Lokeman Yusof, 45, turut mengakui perniagaan ikan bakar yang diusahakanya di Pantai Cahaya Bulan turut menerima tempiasnya apabila sukar untuk mendapatkan bekalan ikan.

“Pelanggan mahukan lebih banyak pilihan ikan untuk ikan bakar tetapi kami tidak dapat memenuhinya kerana bekalan ikan mentah sangat sukar diperoleh ketika ini.

“Caj makanan di kedai pula tidak boleh dinaikkan kerana bimbang dengan rungutan pelanggan. Kami perlu menjaga reputasi terutama kepada pelanggan yang masih kekal makan di kedai kami walaupun pilihan ikan berkurangan,” jelasnya.

Mohamad Nasir Hassan, 40, (kiri) yang melayani pelanggannya di pasar cabang tiga, di Pengakalan Chepa, Kota Bharu.

Ikan-ikan yang dijual di gerai Mohamad Nasir Hassan, 40, (kiri) semakin berkurangan sebanyak 30 peratus daripada biasa sejak selepas Aidilfitri lalu.

Mohamad Nasir Hassan, 40, membersihkan ikan yang dibeli oleh pelanggan.