Trend guru bersara awal meningkat di Sarawak

Jumlah guru yang memilih untuk bersara awal di Sarawak dilihat meningkat sejak tiga tahun lepas. - Gambar hiasan
Jumlah guru yang memilih untuk bersara awal di Sarawak dilihat meningkat sejak tiga tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Jumlah guru yang memilih untuk bersara awal di Sarawak dilihat meningkat sejak tiga tahun lepas, namun jumlah 490 guru itu mewakili kurang daripada satu peratus daripada jumlah guru yang berkhidmat di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, 138 guru memilih untuk bersara awal pada 2019, diikuti dengan 164 pada tahun 2020 dan 188 tahun lepas.

"Sebab utama persaraan awal mereka adalah kesihatan, ada yang telah mengajar selama lebih 30 tahun dan memutuskan untuk beralih ke bidang baharu dan ada yang mahu memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya dalam ucapan di sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

Beliau berkata, oleh kerana aspek pengambilan guru berada dalam bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) kerajaan negeri telah mengemukakan beberapa syor dan cadangan kepada kementerian berkenaan dan ada beberapa cadangan itu telah diterima oleh KPM.

"Sebagai contoh, pengambilan guru secara 'one-off' pada 2021, yang menyaksikan 2,393 guru diambil untuk Sarawak dengan 766 daripadanya adalah anak Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi pada sesi penggulungan kementeriannya berkata, kerajaan negeri menerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhasrat untuk meningkatkan lagi penggunaan gas domestik dan memperluaskan liputan pengedaran gas asli di negeri ini.

Beliau berkata, dua pelan akan digunakan untuk memperluaskan liputan itu, iaitu dengan pembinaan Bintulu-Samalaju Gas Pipeline di Bintulu dan Pan Sarawak Virtual Pipeline System di bandar-bandar utama negeri ini.

Katanya, dengan pembinaan Bintulu-Samalaju Gas Pipeline sepanjang 70km dari Bintulu ke Samalaju Industrial Park, ia dijangka akan dapat memacu pertumbuhan industri hiliran dengan menarik pelaburan dalam dan luar negara.

Sementara itu, Julaihi berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.89 bilion untuk melaksanakan enam inisiatif utama di bawah Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran) bagi menyediakan kemudahan internet dan memangkin ekonomi digital negeri.

Beliau berkata, salah satu daripada inisiatif itu termasuk pembinaan 600 menara baharu di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART).

Menurutnya, Saluran turut melibatkan penyediaan capaian jalur lebar Wifi menggunakan teknologi satelit di 250 kawasan yang tiada perkhidmatan telekomunikasi.

Selain itu infrastruktur jaringan dalam talian kerajaan negeri, SarawakNet, turut diperluaskan ke 60 tapak di seluruh negeri itu di samping peluasan liputan gentian optik sepanjang 130km di Sebauh, Bintulu melalui projek perintis Sebauh Rural High-Speed Open Broadband Network.

Inisiatif-inisiatif lain adalah pengwujudan Point of Interconnect (PoI) bagi perkhidmatan Internet di sembilan Taman Negara serta pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar tetap tanpa wayar melalui pakej Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).

"Program Jalinan Digital Negara (Jendela) di Sarawak yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) juga diselaraskan di bawah inisiatif Saluran untuk mengelak pertindihan tapak,” tambahnya. - Bernama