Kerajaan Selangor program intervensi atasi isu bekalan ayam

Izham (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Inovasi Emas pada Majlis Pelancaran Hari Inovasi Pertanian Selangor dan Selangor Agro Green 2022 pada Selasa.
Izham (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Inovasi Emas pada Majlis Pelancaran Hari Inovasi Pertanian Selangor dan Selangor Agro Green 2022 pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan Selangor memutuskan untuk meneruskan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan sebagai langkah jangka pendek mengatasi isu kekurangan bekalan ayam di negeri itu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, kerajaan negeri akan memastikan pengeluaran ayam ditingkatkan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) dan agensi berkaitan.

Menurutnya, sebanyak 67 kedai di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan meningkatkan jualan ayam daripada 4,000 ekor sehari kepada 10,000 ayam bermula 1 Jun 2022 sehingga Hari Raya Aidiladha.

"Kerajaan negeri akan sediakan dana bagi memastikan bekalan ayam ada dan ditawarkan dengan harga rendah serta diskaun.

"Kita bukan hanya sedia bekalan juga tawar diskaun menunjukkan kerajaan negeri prihatin masalah rakyat. Ini langkah jangka pendek bagi atasi isu kekurangan bekalan ayam yang akan dilaksanakan oleh FAMA dan PKPS," katanya pada sidang akhbar isu krisis ayam di Selangor yang diadakan di Pejabat Pertanian Daerah Gombak pada Selasa.

Beliau terdahulu merasmikan Majlis Pelancaran Hari Inovasi Pertanian Selangor dan Selangor Agro Green 2022 bertempat di lokasi sama.

Izham menambah, kerajaan negeri akan memastikan sasaran 10,000 ayam itu mampu disediakan dan akan menambah bekalan mengikut keperluan.

Selain itu katanya, kerajaan Selangor akan mengambil beberapa pendekatan lain untuk pelan jangka masa panjang bagi mengatasi isu bekalan ayam terutama melibatkan isu baka ayam melalui perbincangan pengeluar ayam dan penanaman makanan ternakan.

"Kerajaan negeri juga akan memulakan tanaman bijirin (makanan ayam) melalui perjanjian dengan kerajaan Negeri Sembilan bagi mengurangkan kebergantungan import bekalan dari negara luar

"Penanaman bijirin itu akan melibatkan keluasan 400 ekar di Negeri Sembilan dan 300 ekar di Kuala Langat sebagai projek permulaan yang akan dilaksanakan segera.

"Walaupun 700 ekar itu melibatkan keluasan kecil berbanding 10,000 ekar untuk nampak impaknya, namun setidaknya usaha tersebut boleh seimbangkan hasil dalam negara dengan import," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga membuat perjanjian dengan sebuah syarikat bagi pengeluaran alternatif makanan ternakan secara besar-besaran.

Beliau menekankan, makanan ternakan memainkan peranan penting dalam penghasilan ayam yang mampu mengatasi isu bekalan dan mengawal harga di pasaran.