Bekas diplomat, anak ditahan tanam pokok ganja keliling rumah

Ramli (tengah) bersama Azmi (kanan) dan Zaiham menunjukkan tumbuhan disyaki pokok ganja yang dirampas dalam Op Tapis pada Sabtu lalu.
Ramli (tengah) bersama Azmi (kanan) dan Zaiham menunjukkan tumbuhan disyaki pokok ganja yang dirampas dalam Op Tapis pada Sabtu lalu.
A
A
A

BENTONG - Seorang bekas diplomat berstatus Datuk ditahan pada Sabtu, selepas disyaki memiliki dan menanam 102 pokok ganja di sekeliling rumahnya di Janda Baik di sini.

Kegiatan suspek berusia 78 tahun itu ditumpaskan pihak polis menerusi Op Tapis walaupun kedudukan ladang ganja itu terpencil selain jauh dari jiran yang ditanam di tanah seluas kira-kira 0.8 hektar sejak 2015.

Ia sekali gus menjadi rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara kerana sebelum ini kebanyakan rampasan hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 6.10 petang di kediaman suspek pada Sabtu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan belakang garaj rumah tersebut, pihak polis menjumpai lima batas tanah yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja.

Ramli menunjukkan sebahagian pokok disyaki ganja yang ditanam di sekeliling rumah bekas diplomat di Janda Baik, Bentong.
Ramli menunjukkan sebahagian pokok disyaki ganja yang ditanam di sekeliling rumah bekas diplomat di Janda Baik, Bentong.

"Batas pertama terdapat 14 batang pokok, batas kedua 7 batang, batas ketiga 13 batang, batas keempat terdapat 12 batang dan batas kelima, 14 batang pokok disyaki pokok ganja.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui khemah berjaring di dalamnya terdapat lapan pokok yang ditanam di atas tanah disyaki pokok ganja menjadikan jumlah keseluruhan ditanam atas tanah sebanyak 68 pokok," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Pahang, Superintendan Azmi Awang Lah dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Menurut Ramli, pemeriksaan seterusnya yang dijalankan di sekitar kaki lima rumah tersebut menemui satu bekas plastik semaian berwarna hitam yang ditanam 12 batang pokok, satu bekas plastik ditanam empat batang pokok dan satu bekas lagi ditanam dua batang pokok disyaki ganja.

"Selain itu, terdapat tujuh beg plastik semaian berwarna hitam setiap satunya ditanam batang pokok disyaki pokok ganja," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan disyaki pokok ganja adalah sebanyak 102 pokok dan nilai anggaran bagi setiap satu pokok adalah RM600 dengan nilai keseluruhan RM61,200.

Ramli menunjukkan suasana rumah suspek yang menanam tumbuhan disyaki pokok ganja.
Ramli menunjukkan suasana rumah suspek yang menanam tumbuhan disyaki pokok ganja.

Tambahnya, pihak polis juga telah menjalankan pemeriksaan lanjut ke dalam rumah tersebut dan menjumpai satu ampaian besi berwarna putih/kelabu di atasnya terdapat tumbuhan kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 573 gram.

"Turut dijumpai, satu beg plastik kuning di dalamnya berisi lima bekas plastik berpenutup cerah yang mana setiap satunya berisi tumbuhan kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 185 gram.

"Satu lagi bekas plastik berpenutup merah di dalamnya berisi tumbuhan kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 262 gram," katanya.

Selain itu katanya, turut ditemui satu botol kaca warna gelap berpenutup hitam setiap satunya berisi cecair disyaki minyak ganja anggaran 60 mililiter (ML) dan satu botol kaca warna gelap tertera tulisan 'Extra Virgin Oil' berisi cecair disyaki minyak kelapa.

"Pihak polis juga menjumpai satu batang buluh yang telah diubah suai dipercayai digunakan bagi kegiatan penagihan dadah jenis ganja," katanya.

Ramli berkata, hasil analisis rampasan dadah itu boleh dibekalkan kepada 1,020 penagih.

Katanya, pihak polis kini sedang mengenal pasti kepada siapa bahan terlarang itu diedarkan.

"Benih ini juga dipercayai daripada ganja yang dimampatkan sekitar tujuh tahun lalu di Kuala Lumpur.

"Hasil ujian saringan awal ke atas sampel air kencing suspek negatif dadah namun berdasarkan siasatan awal polis, suspek mendedahkan menggunakan cecair disyaki minyak ganja dengan mencampurkan beberapa titik ke dalam minumannya sejak tiga tahun lalu," katanya.

Dipercayai suspek mempelajari menanam tumbuhan itu menerusi YouTube.

Ramli menunjukkan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan penagihan dadah jenis ganja yang dirampas dari rumah suspek di Janda Baik pada Sabtu.
Ramli menunjukkan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan penagihan dadah jenis ganja yang dirampas dari rumah suspek di Janda Baik pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 21 Mei hingga Sabtu ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

"Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6B akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(1)(A) akta sama. Jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama dipenjara seumur hidup dan dan disebat tidak kurang daripada enam sebatan," ujarnya.

Sementara itu, susulan tangkapan suspek tersebut, seorang lelaki berumur 53 tahun yang juga anak suspek pertama ditahan di Shah Alam kira-kira jam 5.30 petang pada Isnin untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6B akta sama.

"Hasil ujian saringan awal air kencing, suspek kedua didapati positif dadah jenis ganja.

"Hasil siasatan lanjut, suspek mendedahkan terlibat dalam kegiatan penagihan dadah sejak 2013 dan telah menanam ganja sejak 2015," jelasnya.