Bekalan ayam di Sabah mencukupi

Jeffrey ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Jeffrey ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekalan ayam di Sabah ketika ini mencukupi, kata Menteri Perikanan dan Pertanian Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut melahirkan kebimbangan kemungkinan harga ayam akan meningkat berikutan bekalan daripada pembekal berkurangan ketika musim perayaan.

"Di Sabah, bekalan ayam kita masih cukup. Jadi kesan kekurangan ayam itu tidak begitu ketara. Kita tidak mengimport begitu banyak ayam sebab bekalan kita mencukupi dan hanya bahagian ayam seperti sayap ayam yang kurang.

"Cuma saya takut nanti musim perayaan, bekalan import akan berkurangan dan akan menyebabkan harga ayam akan naik," katanya pada sidang akhbar sempena sambutan Pesta Kaamatan, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung situasi semasa bekalan ayam di Sabah berikutan masalah kekurangan bekalan bahan makanan itu di Semenanjung ketika ini.

Diminta mengulas lanjut berhubung langkah kerajaan untuk menghentikan sementara pengeksportan bekalan ayam ke luar negara, beliau berkata, kerajaan negeri akan melakukannya jika keadaan bekalan ayam di Sabah tidak stabil.

"Kalau kita tidak cukup, kita kena ikut apa yang kerajaan Persekutuan lakukan. Setakat ini cukup," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan kerajaan akan menghentikan pengeksportan 3.6 juta ekor ayam selama sebulan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Larangan itu dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam di dalam negara kembali stabil.