Posmen didakwa curi, jual barang kemas pelanggan

Mohamad Azizal (dua dari kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.
Mohamad Azizal (dua dari kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang posmen yang bertugas di bahagian kaunter serahan sebuah syarikat penghantaran didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mencuri dan menjual bungkusan berisi barang kemas milik pelanggan.

Mohamad Azizal Rebu, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil pada 10 Mac lalu kira-kira jam 8 hingga 10.30 pagi di Pusat Serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohamad Azizal turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 kanun sama kerana menghapuskan harta curi berkenaan dengan cara menjual di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah.

Perbuatan itu dilakukan menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac lalu dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius manakala tertuduh pula diwakili peguam, Amritpal Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas pengadu menyedari barangan kemas yang dibeli berharga RM6,800 beserta insurans menerima maklum barangannya telah diisytiharkan hilang ketika transit.