Polis tahan lapan individu dalam Op Noda

Anggota polis menjalankan pemeriksaan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Pusat Perdagangan Bandar Bukit Jalil, pada Isnin.
Anggota polis menjalankan pemeriksaan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Pusat Perdagangan Bandar Bukit Jalil, pada Isnin.
A
A
A

CHERAS - Polis menahan lapan individu termasuk dua wanita dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Pusat Perdagangan Bandar Bukit Jalil di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua individu berusia 23 hingga 35 tahun itu ditahan pada jam 10.25 malam.

"Hasil pemeriksaan terhadap 134 orang, kami menahan seorang lelaki warga tempatan, lima lelaki dan dua wanita warga asing," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya turut merampas tujuh botol minuman keras pelbagai jenama serta beberapa barangan elektronik.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seskyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959 (Pin 2002)," katanya.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.