X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

40 kanak-kanak cerebral palsy diraikan sempena Aidilfitri

Amzad (kanan) mengusap dahi seorang kanak-kanak sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri MyCP Terengganu di Kampung Merbau Patah, di Kuala Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Dalam kesibukan meraikan Sambutan Aidilfitri, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim tidak ketinggalan mengunjungi 'anak syurga' yang mengalami cerebral palsy.

Kunjungan itu bagi memenuhi undangan Majlis Hari Raya Aidilfitri MyCP Terengganu di Kampung Merbau Patah pada Sabtu.

"Ketika kita riang menyambut Aidilfitri, ada insan yang menyambutnya dalam keadaan serba sederhana. Diuji dengan pelbagai ujian yang ada kalanya berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban.

"Dalam senyum, sebak hati melihat keadaan anak-anak syurga ini. Tidak mampu menguruskan diri, mengharapkan orang di sekeliling untuk urusan harian mereka," katanya melalui hantaran di laman Facebooknya.

Pada majlis itu, Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan MyCP Terengganu, Ahmad Huzairi Ali berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan pemimpin tersebut bagi meraikan sekali gus memberikan kegembiraan kepada anak-anak yang ditempatkan di situ.

"MyCP adalah jalinan kerjasama ibu bapa yang mempunyai anak-anak mengalami masalah cerebral palsy dan sehingga kini seramai 40 kanak-kanak ditempatkan di sini.

Amzad (kanan) bersama kanak-kanak celebral palsy yang diraikan sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri MyCP Terengganu di Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu.
Amzad (kanan) bersama kanak-kanak celebral palsy yang diraikan sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri MyCP Terengganu di Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu.

"Sebanyak 98 peratus kanak-kanak di sini merupakan orang kurang upaya (OKU) cerebral palsy yang terlantar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, banyak keperluan masih belum mencukupi di situ memandangkan 83 peratus daripada ahlinya merupakan kategori B40.

"Keperluan asas seperti lampin pakai buang, susu dan bijirin memang diperlukan setiap bulan. Keperluan kerusi roda khas untuk OKU cerebral palsy juga diperlukan kerana tidak semua mereka terima bantuan walaupun dikategorikan B40.

"Walaupun ramai di sini dalam kalangan ahli baru dan keahlian yang masih sedikit, namun pelbagai cerita pengalaman yang dihadapi mereka," katanya.

Cerebral palsy merupakan kondisi yang berlaku akibat kerosakan otak yang terjadi semasa di dalam kandungan, semasa lahir atau selepas kelahiran.

Kebolehan mengawal pergerakan otot yang terjejas menyebabkan kesukaran mengawal postur, pergerakan dan mengimbangkan diri.

Kanak-kanak cerebral palsy mempunyai peluang yang terhad untuk bermain, meneroka persekitaran dan berfungsi akibat masalah tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!