X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

RM1 juta untuk PROSTEM di sekolah Pulau Pinang

Hasbi (tengah) ketika melancarkan Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) di SK Seri Bayu, pada Selasa.
A
A

BAYAN LEPAS - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukan RM 1 juta untuk Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) bagi sekolah-sekolah di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Haji Hasbi Habibollah berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 71 sekolah melibatkan 1,245 pelajar dan 50 guru STEM di bawah kawasan operasi Perda daripada Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya mendapat manfaat menerusi inisiatif tersebut.

“Program Rural Outreach STEM ini dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sebagai program galakan minat pelajar luar bandar daripada kategori B40 terhadap subjek STEM (Sains, Matematik dan Sains Tulin)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Teluk Kumbar, di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, JPN Pulau Pinang, Mohamad Said Ibrahim.

Jelasnya, berdasarkan data, penglibatan pelajar terlibat di bawah program kecemerlangan akademik Perda sejak 2017 sehingga 2021 menunjukkan bilangan yang rendah iaitu kurang 30 peratus bagi aliran STEM di peringkat menengah.

Tambah beliau, bidang STEM merupakan bidang penting di dalam mendepani revolusi IR 4.0 yang masih belum menerima sokongan mencukupi daripada agensi kerajaan selain daripada Kementerian Pendidikan.

“Sebilangan kecil sekolah di kawasan bandar atau luar bandar yang terpilih menerima galakan STEM melalui sumbangan set robotik daripada NGO atau industri. Setakat ini, hanya segelintir sekolah luar bandar menerima bantuan galakan STEM," katanya lagi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!