X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Kes HFMD di Sabah meningkat 111 peratus

Jangkitan penyakit HFMD di Sabah mula menunjukkan trend peningkatan. - Foto 123RF
A
A

KOTA KINABALU - Jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sabah mula menunjukkan trend peningkatan bermula pada Minggu Epidemiologi 14 (ME 14/2022) iaitu dari 3 hingga 9 April lepas dan semakin meningkat dengan ketara pada ME ke-20 dari 15 hingga 21 Mei.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pada ME ke-20, sebanyak 702 kes HFMD dilaporkan meningkat sebanyak 111 peratus berbanding pada ME ke-19 iaitu hanya 333 kes.

Beliau berkata, kumulatif kes HFMD di Sabah sehingga ME ke-20 adalah sebanyak 3,351 kes dan peningkatan ini sangat tinggi jika dibandingkan dengan 63 kes dalam tempoh yang sama pada 2021.

"Lima daerah yang melaporkan kes tertinggi ialah Tawau (541 kes), Sandakan (451 kes), Lahad Datu (325 kes), Papar (309 kes) dan Kota Belud (269 kes). Setakat ini tiada kes kematian dilaporkan disebabkan oleh HFMD di Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Dr Rose Nani berkata, transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat-pusat pendidikan awal.

Beliau berkata, aktiviti kawalan sedang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah dengan mengadakan sesi dialog awam bersama agensi berkaitan serta pengusaha pusat pendidikan awal bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran mengenai penyakit HFMD.

"Saringan setiap hari terhadap kanak-kanak sebelum masuk ke pusat pendidikan awal dilaksanakan oleh pengusaha pusat tersebut dan kanak-kanak yang bergejala HFMD akan diasing di rumah masing-masing,” katanya yang turut memaklumkan hebahan mengenai HFMD turut disalurkan melalui bual bicara radio, media sosial, info grafik dan kenyataan media. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!