Kerajaan dalam proses struktur semula jumlah perjawatan perkhidmatan awam

Md Farid
Md Farid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan kini dalam proses menstruktur semula jumlah perjawatan dalam perkhidmatan awam berdasarkan kedudukan ekonomi negara dan perkembangan teknologi semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata ia dilakukan melalui pelbagai kaedah antaranya kajian pertindihan fungsi antara jabatan dan agensi, rasionalisasi perjawatan, pengoptimuman sumber manusia, serah urus fungsi (outsourcing), penswastaan dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan bakat terbaik dan pegawai berpotensi diletakkan di tempat sewajarnya, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat kepada perkhidmatan awam.

“Gabungan strategi pengurangan saiz perkhidmatan awam dan peningkatan produktiviti dijangka mampu menjana lebih banyak pendapatan kepada negara dan ketika itu, kerajaan bersedia untuk mempertimbang kenaikan gaji kepada penjawat awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) sama ada kerajaan akan melaksana penstrukturan semula perjawatan awam bagi mengawal saiz perkhidmatan dalam sektor kerajaan.

Md Farid menjelaskan kini terdapat 1.6 juta penjawat awam, iaitu 94 peratus pengisian berbanding 1.7 juta perjawatan merangkumi perkhidmatan awam persekutuan, badan berkanun persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan dan memberi kesan kepada peruntukan perbelanjaan pembangunan.

Justeru, katanya, kerajaan berpendapat jumlah perjawatan itu boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian perkhidmatan dan punca pendapatan pegawai yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh Dasar Penswastaan yang diperkenalkan pada 1983, beliau berkata ia berjaya mengurangkan bebanan kewangan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja malah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sumber secara cekap. - Bernama