Terengganu promosi pelancongan ke Itali, Switzerland dan Jerman

Terengganu menyasarkan kedatangan tiga juta pelancong domestik dan asing melalui 22 aktiviti yang telah disusun dalam kalendar pelancongan sepanjang tahun. - Foto 123RF
Terengganu menyasarkan kedatangan tiga juta pelancong domestik dan asing melalui 22 aktiviti yang telah disusun dalam kalendar pelancongan sepanjang tahun. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri meneruskan usaha promosi produk pelancongan menerusi sesi 'Business To Business' (B2B) selama 10 hari bermula Rabu, ke tiga negara Eropah bagi menarik kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri ini.

Delegasi diketuai Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman itu akan mempromosikan produk menarik di Terengganu kepada pengamal media dan penggiat industri pelancongan di Itali, Switzerland dan Jerman.

Ariffin berkata, keutamaan promosi B2B kali ini ialah Itali kerana statistik kemasukan pelancong dari negara itu menunjukkan trend peningkatan secara konsisten bagi tempoh tiga tahun sebelum pandemik Covid-19 iaitu 44,638 orang pada 2017, meningkat kepada 52,011 orang (2018) dan 54,710 orang (2019).

"Di Terengganu pula, lokasi utama yang dikunjungi mereka ialah tiga pulau peranginan iaitu Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah yang merekodkan kemasukan 23,238 orang pada 2019.

"Unjuran dalaman yang dibuat Tourism Malaysia di luar negara mendapati 70 peratus pelancong dari Itali ke Malaysia telah berkunjung ke salah satu pulau di Terengganu dan yakin matlamat delegasi kali ini untuk 'menjual' lebih banyak pakej percutian menarik akan tercapai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bertemakan 'An Evening with Beautiful Terengganu, Best Paradise Islands', sesi promosi itu akan menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk hadiah cabutan bertuah iaitu pakej tajaan percutian tiga hari dua malam di dua resort mewah di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Pada tahun ini, Terengganu menyasarkan kedatangan tiga juta pelancong domestik dan asing melalui 22 aktiviti yang telah disusun dalam kalendar pelancongan sepanjang tahun. - Bernama