Pemburuan Liverpool masih belum selesai

Mohamed Salah
Mohamed Salah
A
A
A

PEMBURUAN kejuaraan kelab sensasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool masih belum berakhir biarpun terpaksa akur kebangkitan dramatik Manchester City yang mengekalkan trofi liga untuk kali keempat dalam lima musim di Stadium Etihad musim ini.

Malah penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah tumpuan kelab Merseyside itu kini beralih kepada perlawanan akhir menentang gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stade de France, Paris, 29 Mei ini.

"Tugasan kami belum selesai lagi," ujar penyerang kelahiran Mesir di laman media sosialnya merujuk kepada kejuaraan berprestij kelab Eropah berkenaan selepas berkongsi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min setelah kedua-duanya meledak 23 gol untuk pasukan masing-masing musim ini.

Biarpun aturan saingan liga tidak mengikuti perancangan kelab kendalian Jurgen Klopp itu, namun kelab sarat tradisi kejuaraan Inggeris tersebut tetap berpeluang memenangi tiga trofi musim ini sekiranya berjaya menewaskan Los Blancos kendalian Carlo Ancelloti hujung minggu ini.

Untuk rekod, The Reds menjulang Piala Liga selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti, sebelum menewaskan lawan yang sama dengan keputusan sama dalam Piala FA.

Klopp tidak pernah memenangi kedua-dua kejuaraan domestik tersebut itu sebelum ini sepanjang mengendalikan Liverpool, selain kejuaraan liga, kejuaraan kelab Eropah dan kejuaraan kelab dunia.

Pada musim ini Salah yang tampil cemerlang apabila menjadi sebahagian pencetus kejayaan Liverpool, berazam untuk memenangi satu lagi trofi.

"Sejujurnya saya mahu beraksi berdepan Real Madrid. Manchester City adalah pasukan yang sangat sukar, kami bermain menentang mereka beberapa kali musim ini.

"Namun sekiranya anda bertanya kepada saya secara peribadi, saya lebih suka berdepan Real Madrid dan berharap menang menentang mereka," ujarnya.