X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Permohonan penghakiman terus Mohamed Haniff terhadap Bersatu ditolak

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan penghakiman terus peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Selasa.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan keputusan tersebut menyebelahi Bersatu, memandangkan Mohamed Haniff tidak pernah dilantik sebagai peguam parti, bahkan tuntutan itu juga dianggap tidak munasabah.

“Pagi ini saya mendapat berita baik. Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Akhtar Tahir menolak permohonan peguam Haniff Khatri untuk satu summary judgement (penghakiman terus) mengarahkan Bersatu membayar beliau sebanyak RM12.5 juta, tetapi sebaliknya mengarahkan Haniff pula membayar kos kepada Bersatu.

“Haniff Khatri tidak pernah dilantik sebagai peguam parti dan tuntutan bayaran yang begitu tinggi sebanyak RM12.5 juta adalah tidak munasabah.

“Keputusan mahkamah pagi ini menyebelahi Bersatu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Tahun lalu, media melaporkan Mohamed Haniff telah menfailkan saman terhadap Bersatu bagi menuntut yuran guaman yang tidak dibayar berjumlah RM12.5 juta.

Tuntutan itu juga dibuat kepada anggota parti iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri yang memegang jawatan bendahari.

Haniff mengemukakan writ pada 17 Julai tahun lepas.

Dalam tuntutannya, beliau berkata, wang yang dituntut adalah untuk khidmat guaman sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Mohamed Haniff menerusi satu hantaran di Facebooknya turut memberitahu Permohonan Aturan 14 bagi tujuan perolehan penghakiman terus oleh firman guaman beliau telah dipanggil untuk bicara di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya, Mahkamah telah membuat keputusan untuk menolak Permohonan Aturan 14 tersebut dengan kos sebanyak RM3,000 dibayar kepada Bersatu.

“Selain itu, Mahkamah juga menetapkan tindakan sivil ini untuk bicara penuh dengan keperluan panggilan saksi dan penampilan dokumen yang perlu untuk tempoh awalan sebanyak lima hari mulai 18 Mac 2024 hingga 22 Mac 2024,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!