Lima lelaki ditahan terlibat penyeludupan diesel bersubsidi

Tiga daripada lima suspek yang ditahan Batalion 5 PGA Simpang Renggam dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Kota Putri, Pasir Gudang pada Ahad.
Tiga daripada lima suspek yang ditahan Batalion 5 PGA Simpang Renggam dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Kota Putri, Pasir Gudang pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan lima lelaki dipercayai sedang menjalankan kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Kota Putri, di sini, pada Ahad.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang berkata, penahanan suspek termasuk tiga warga asing itu turut membawa kepada rampasan kira-kira 45,500 liter diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM111,475.

“Menerusi serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11.45 malam itu, kesemua suspek berusia 28 hingga 53 tahun itu telah gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan itu.

"Ketika serbuan dilakukan, semua suspek ini dilihat sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel dari tangki berkapasiti 1,000 liter ke dalam tangki berkapasiti 20,000 liter,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Dimin berkata, dalam serbuan sama, antara yang turut merampas adalah sebuah tangki berkapasiti 10,000 liter, tong putih kapasiti 1,000 liter, dua mesin pam minyak, dua lori dan satu treler dianggarkan bernilai RM472,575 termasuk minyak diesel terbabit.

“Kita percaya tangkapan dan hasil rampasan ini telah berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak (diesel) bersubsidi di sekitar daerah Johor Bahru.

“Kesemua barang rampasan berserta suspek kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di laluan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.