Tangani isu buli dengan pendekatan agama

Foto hiasan. (Gambar kecil: Mohd Azizee)
Foto hiasan. (Gambar kecil: Mohd Azizee)
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berpendapat isu buli yang masih berleluasa pada masa kini boleh ditangani dengan salah satu caranya melalui pendekatan agama secara kaedah tarbiyah (pendidikan) dan dakwah.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, elemen terapi kerohanian yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad melalui pesanan-pesanan hadis wajar dijadikan mekanisme terbaik mendidik manusia.

"Program pendidikan Nabi Muhammad berdasarkan kajian sirah ialah melalui halaqah-halaqah ilmu dan tarbiyah yang diterapkan di dalam jiwa para sahabat tanpa henti- henti sehingga menjadi benteng jati diri dari melakukan mungkar dan perkara keji.

"Justeru, sekolah perlu menggerakkan aktivisme program halaqah ini atas nama program usrah atau 'study circle' untuk pengisian memantapkan jiwa dan rohani," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesan pendemik Covid-19 selama dua tahun, dalam keadaan pelajar yang tidak belajar secara bersemuka menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai cabaran yang menggugat sahsiah diri.

"Pendekatan tarbiyah secara langsung dengan penalaan kepada perubahan jiwa sukar dilaksanakan meskipun itulah uslub terbaik membangun nurani dan akal manusia sehingga menjadi insan budiman (berbudi dan beriman).

"Selain itu, pendekatan agama melalui kaedah ‘in out’ (dalam luar) yang ditunjukkan dalam sirah Nabawiyah merupakan cara terbaik kerana ia menepati piawaian rabbani.

"Banyak lagi cara yang dianjurkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah jika diamalkan dapat membendung perkara buli," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan isu buli dalam kalangan pelajar boleh berlaku dalam pelbagai bentuk bukan sahaja terhad kepada perlakuan fizikal yang mengundang kecederaan dan mengakibatkan kematian.

"Ia terjadi dalam bantuk yang lain seperti buli lisan seperti ejek mengejek dan buli siber melalui ungkatan perkataan di media sosial seperti di WhatsApp, Telegram, Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah Baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan adalah sesuatu yang dialu-alukan dan semua pihak menyambut baik usaha tersebut.

"Adalah diharapkan dengan penubuhan jawatankuasa ini dapat mengemukakan cadangan dan penyelesaian konkrit demi memastikan iklim sekolah selamat dan sejahtera sesuai dengan konsep 'Sekolahku Sejahtera’," katanya.