Ringgit dibuka rendah berikutan sentimen terhadap dolar AS kukuh

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa susulan sentimen terhadap mata wang negara maju itu mengukuh menjelang mesyuarat FOMC pada Khamis.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa susulan sentimen terhadap mata wang negara maju itu mengukuh menjelang mesyuarat FOMC pada Khamis.
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan sentimen terhadap mata wang negara maju itu mengukuh menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) pada Khamis, kata penganalisis.

Pada jam 9.01 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.3925/3960 berbanding dolar AS daripada 4.3870/3915 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, indeks-indeks ekuiti penanda aras di AS mengalami peningkatan semula, manakala hasil Perbendaharaan AS sama ada sekuriti berjangka pendek atau panjang adalah tinggi.

"Ini menunjukkan terdapat peralihan daripada kelas aset bebas risiko kepada sekuriti berisiko, iaitu ekuiti,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, selain itu, sentimen dalam pasaran pertukaran asing kekal terkawal kerana Rizab Persekutuan (Fed) sebagai bank pusat AS akan terus cenderung kepada kadar faedah tinggi dalam pendirian monetarinya.

"Kami percaya sentimen dalam pasaran pertukaran asing kekal dikawal oleh Fed, dinamik yang akan dihuraikan lebih teliti dalam minit mesyuarat FOMC yang akan diterbitkan pada Khamis,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, justeru ringgit dijangka kekal dalam julat di antara RM4.38 dengan RM4.39 pada Selasa.

Ringgit bagaimanapun didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1925/1955 daripada 3.1933/1968 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.4367/4397 daripada 3.4408/4446.

Ringgit juga tinggi berbanding pound British kepada 5.5157/5201 daripada 5.5167/5223 namun rendah berbanding euro kepada 4.6864/6901 daripada 4.6840/6888 pada Isnin. - Bernama