Pusat karaoke saji GRO diserbu

Polis memeriksa pelanggan dan pekerja sebuah pusat karaoke dalam serbuan yang dilakukan pada Isnin.
Polis memeriksa pelanggan dan pekerja sebuah pusat karaoke dalam serbuan yang dilakukan pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sebuah pusat karaoke di Jalan Sungai Besi, di sini yang menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) terbongkar menerusi serbuan sepasukan anggota polis pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seramai empat wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Mongolia berusia antara 23 hingga 45 tahun disyaki GRO ditahan dalam serbuan pada jam 11.30 malam itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati, GRO berkenaan dibayar RM100 hingga RM150 sejam untuk melayan pelanggan berhibur dan minum di premis itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Habibi berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang disyaki pengurus premis berkenaan bagi membantu siasatan.

"Kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap kesemua 94 individu termasuk 73 pelanggan premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas peralatan audio dan resit perniagaan.

"Siasatan lanjut, pusat karaoke itu ada lesen untuk beroperasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen, Seksyen 55B akta yang sama dan Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952," ujarnya.