Singapura cuba minimumkan impak bekalan ayam dari Malaysia

Singapura memantau rapat situasi import ayam dari Malaysia selain bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan untuk meminimumkan kesan bekalan. - Foto hiasan
Singapura memantau rapat situasi import ayam dari Malaysia selain bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan untuk meminimumkan kesan bekalan. - Foto hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Singapura memantau rapat situasi import ayam dari Malaysia selain bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan untuk meminimumkan kesan bekalan.

"Sebagai contoh, mereka akan mengaktifkan rantaian bekalan untuk meningkatkan import ayam sejuk daripada sumber alternatif, meningkatkan import ayam sejuk beku daripada pembekal bukan Malaysia sedia ada, atau mengambil daripada stok ayam itik,” menurut Singapore Food Agency (SFA) dalam kemas kini di Facebook.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan bahawa eksport sehingga 3.6 juta ekor ayam akan dihentikan mulai 1 Jun sehingga harga ayam dan pengeluaran stabil.

Langkah itu sebagai langkah jangka pendek terhadap isu bekalan serta harga ayam.

"Walaupun mungkin berlaku gangguan sementara pada bekalan ayam sejuk, pilihan ayam sejuk beku masih ada untuk mengatasi kekurangan.

"Kami amat menggalakkan pengguna memainkan peranan mereka dengan bersikap terbuka untuk menukar pilihan - seperti lebih memilih ayam sejuk beku - serta sumber produk daging yang lain. Kami juga menasihati pengguna membeli mengikut keperluan,” menurut SFA.

SFA memaklumkan kira-kira 34 peratus daripada import ayam Singapura pada 2021 adalah dari Malaysia - hampir kesemuanya diimport dalam bentuk ayam hidup yang disembelih dan disejukkan di Singapura. - Bernama