Ahli keluarga bantu cari tiga kru bot hilang guna helikopter

Operasi Carilamat tiga kru bot tunda diteruskan oleh Maritim Malaysia di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud.
Operasi Carilamat tiga kru bot tunda diteruskan oleh Maritim Malaysia di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pencarian tiga kru bot tunda yang hilang di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, diteruskan dengan menggunakan pelbagai aset termasuk helikopter persendirian oleh ahli keluarga salah seorang mangsa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi Carilamat tiga kru bot yang hilang itu kini memasuki hari ketiga.

"Operasi yang dimulakan sebelum ini belum menemui sebarang petanda dan operasi diteruskan hari ini. Kawasan pencarian dipecahkan kepada tiga sektor dengan keluasan 339 batu nautika persegi.

"Aset yang terlibat daripada pihak Maritim Malaysia ialah KM Bistari, daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ialah KD Johor dan RH 29 dari Pasukan Polis Marin (PPM)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau lagi, operasi itu turut dibantu oleh ahli keluarga mangsa.

"Pemilik bot yang juga ahli keluarga salah seorang mangsa memaklumkan mereka menggunakan helikopter persendirian untuk mencari ketiga-tiga kru berkenaan.

"Ahli keluarga terbabit turut menyertai operasi yang berlepas ke lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan tiga kru bot iaitu kapten Wilson Paul Joseph, 31, bersama jurutera, Yee Lih Min, 22, serta seorang lagi, Ling Chung Siong, 24, dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi kira-kira jam 9.30 pagi Ahad.

Difahamkan, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan dari Miri, Sarawak menuju ke Kota Kinabalu dengan menaiki bot tunda yang turut membawa muatan barang alat ganti.