Identiti seorang lagi pendaki Gunung Suku sedang dikenal pasti

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti seorang lagi pendaki yang jasadnya ditemukan pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung Suku, Simpang Pulai pada minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan perbandingan cap jari bagi anggota tubuh yang ditemukan pada operasi itu tidak dikesan dalam rekod polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Bagaimanapun, pihak siasatan akan menghantar semua spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) manusia yang dikumpul oleh Jabatan Forensik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun sepanjang operasi SAR ke Jabatan Kimia untuk analisa DNA bagi tujuan pengesahan identiti mangsa kedua," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Pada masa sama, beliau mengesahkan penemuan mayat pada Sabtu adalah Ng Yee Chew, 46, menerusi hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Forensik Pergigian dari Hospital Kuala Lumpur.

"Mangsa disahkan merupakan salah seorang pendaki berdasarkan pemadanan ciri-ciri fizikal gigi pada mayat dan rekod rawatan pergigian mangsa.

"Punca kematian mangsa ini diklasifikasikan sebagai kecederaan pelbagai disebabkan tanah runtuh. Mayat telah diserahkan kepada waris pada Isnin," katanya.

Dalam kejadian 15 Mei lalu, dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Gunung Suku.

Kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46.

Menerusi laporan media sebelum ini, pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian menemui beberapa anggota tubuh manusia dan badan dipercayai milik pendaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Gunung Suku.