Arah MPB segera tangani isu kolam air Taman Saga

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Menteri Besar Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengarahkan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) supaya menyegerakan usaha menangani masalah kolam takungan air di atas bukit berhampiran Taman Saga, Bentong.

Wan Rosdy berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Caruman Saliran Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 11 Februari lepas, telah pun meluluskan peruntukan RM500,000 daripada Akaun Amanah Caruman Saliran Negeri.

Menurutnya, peruntukan tersebut ialah bagi projek menaik taraf sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar kawasan Taman Saga, Bentong, Pahang.

“RM500,000 sebanyak RM420,000 bagi kerja-kerja membekal dan memasang longkang terbuka bersaiz 3.6 X 3.6 meter sepanjang 200 meter, sebelum air mengalir ke parit sedia ada, seterusnya ke anak sungai yang berhampiran Taman Saga.

“MPB selaku agensi pelaksana, saya minta agar dapat segera bertindak bagi menyelesaikan aduan penduduk setempat mengenai kewujudan kolam takungan ini,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita mengenai kolam takungan tersebut, baru-baru ini.

Antara lain laporan berita itu menyebut, kolam takungan air berkenaan semakin membesar dan betapa tinjauan mendapati, air yang memenuhinya kini tinggal hanya kira-kira satu (1) meter lagi untuk melimpah.

Wan Rosdy berkata, sejak awal tahun lepas kedua-dua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bentong, telah pun bertindak ekoran aduan penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil tindakan dan siasatan mendapati, masalah dipercayai berpunca daripada culvert di bawah kolam takungan berkenaan yang tersumbat, yang tidak dapat dikesan lokasinya sungguhpun setelah mendapat bantuan penyelam daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Ekoran itu pada bulan Februari tahun lalu JPS Bentong telah bertindak dengan cubaan mengepam keluar air dari kolam takungan tersebut.

“Bagaimanapun katanya, kerja-kerja tersebut terpaksa dihentikan tiga bulan kemudian. Kerja-kerja pengepaman masih tidak dapat mengurangkan air yang bertakung dalam kolam itu.

“Adalah diharapkan, dengan usaha terbaru ini menerusi peruntukan RM500,000 yang diluluskan, MPB mengambil tindakan segera termasuk dalam urusan mengeluarkan tender; isu kolam takungan air ini dapat ditangani dengan berkesan, Insya-ALLAH,” katanya.