X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Industri beri jaminan bekalkan ayam

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika mengadakan sesi libat urus bersama 12 pemain industri dan persatuan penternak pada Isnin.
A
A

PUTRAJAYA - Pihak industri ayam memberi jaminan ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan.

Komitmen itu disuarakan 12 pemain industri dan persatuan penternak seperti Leong Hup Poultry Farm Sdn Bhd, HLRB Broiler Farm Sdn Bhd, PWF Corporation Bhd, Federation of Livestock Farmers’ Association of Malaysia (FLFAM) dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) dalam sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Isnin.

MAFI dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, kementerian mengambil maklum semua isu-isu yang telah dibangkitkan termasuk peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca, proses Kebenaran Merancang (KM) dan sebagainya yang antara lain telah menjejaskan operasi dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam.

Menurut kenyataan itu, isu-isu berkaitan dengan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada penternak juga telah dibincangkan.

"DVS akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestik.

"Sebelum ini, MAFI telah mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam

"Tindakan juga sedang diambil dengan mobilasi lebih banyak pegawai ke peringkat negeri bagi segerakan semakan permohonan," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 per kilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

"Subsidi tersebut telah diberikan untuk meringankan beban kos pengeluar ayam yang kian meningkat.

"Walau bagaimanapun, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar setakat ini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semua penternak yang memenuhi syarat diminta untuk kemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh yang telah dijanjikan.

"MAFI akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang memainkan peranan penting dan terlibat langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran kekal terjamin," tambah kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, kerajaan juga tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyorok, menyimpan atau sabotaj terhadap bekalan ayam di pasaran yang dapat menjejaskan kehidupan rakyat.

"MAFI sentiasa memandang serius sebarang perkara yang mengancam sekuriti makanan negara dan akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," jelas kenyataan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!