Bawa pulang kenderaan tersadai di Thailand tanpa caj

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Ab Aziz Yunus (kiri) dan Pengurus Besar Infra Quest Sdn Bhd dan Ascii Line Sdn Bhd, A'sri Che Ali (tengah) menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM2.5 juta kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan).
Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Ab Aziz Yunus (kiri) dan Pengurus Besar Infra Quest Sdn Bhd dan Ascii Line Sdn Bhd, A'sri Che Ali (tengah) menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM2.5 juta kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Kenderaan rakyat Malaysia yang tersadai di Thailand akibat sekatan antarabangsa kerana pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, boleh dibawa pulang ke negara ini tanpa sebarang caj bermula 1 Jun sehingga 30 Jun ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama 13 agensi yang terlibat pada Isnin sejajar dengan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 1 Jun ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, rakyat Malaysia diberi tempoh selama sebulan bermula 1 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2022 untuk membawa pulang kenderaan mereka dari Thailand menerusi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang.

“Bermula 1 Jun sehingga 30 Jun ini, kerajaan Thailand bagi tawaran dan ruang supaya kenderaan-kenderaan Malaysia yang ada di Thailand dibawa balik ke negara ini tanpa sebarang caj.

“Peluang ini diberi hanya satu bulan, jadi rakyat Malaysia yang mungkin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu tidak dapat membawa kenderaan ataupun tersadai di sana supaya ambil tindakan untuk mengambil kenderaan mereka balik ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Jubli Perak Infra Quest Sdn Bhd (IQSB) Tahun 2022 di Hotel Perdana di sini, pada Isnin.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab Aziz Yunus serta Pengurus Besar Infra Quest Sdn Bhd dan Ascii Line Sdn Bhd, A’sri Che Ali.

Siti Zailah (tengah) selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Ketua Imigresen Rantau Panjang dan beberapa agensi berkaitan di ICQS Rantau Panjang pada Isnin. - Foto Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff
Siti Zailah (tengah) selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Ketua Imigresen Rantau Panjang dan beberapa agensi berkaitan di ICQS Rantau Panjang pada Isnin. - Foto Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff

Siti Zailah berkata, pihaknya menerima banyak rungutan umum berkaitan kenderaan rakyat Malaysia yang tersadai di Thailand akibat pandemik Covid-19 selain terbeban dengan kadar caj bergantung selama mana tempoh kereta ditinggalkan.

“Biasa caj tinggal kenderaan di Thailand capai RM100 atau lebih, jadi segera bertindak dalam tempoh sebulan kerana selepas itu, caj akan berkuat kuasa semula.

“Di ICQS Rantau Panjang ini biasanya lebih empat ratus kenderaan yang menggunakan laluan itu untuk keluar masuk ke dua-dua negara dan kami juga dalam perancangan untuk melancarkan isu-isu berkaitan sempadan selepas sekian lama ditutup akibat Covid-19,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, IQSB turut menyampaikan sumbangan RM2.5 juta kepada kerajaan Kelantan menerusi Tabung Serambi Mekah.