Liverpool yang gagal, Manchester United yang sorak gembira

No Image Caption
A
A
A

PERSETERUAN antara Liverpool dan Manchester United sudah berlaku sejak sekian lama sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengejar bilangan takhta juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Manchester United yang terkenal dengan jolokan The Red Devils tetap unggul dengan 20 kali bergelar juara dan diikuti rapat Liverpool atau The Reds dengan 19 kali.

Dan pada perlawanan terakhir EPL malam Ahad, adalah penentu sama ada mampukah The Reds, pasukan bimbingan Jurgen Klopp berdiri seiring menyamai rekod musuh tradisi mereka.

Di Malaysia juga, bahang kehangatan penentuan perlawanan akhir itu amat dirasai dan ditunggu oleh penyokong Liverpool dan penghalang terdekat mereka, Manchester City.

Merak Jalanan selaku penyokong tegar Liverpool juga tidak tenteram dibuatnya kerana andai Manchester City meraih kemenangan, sudah pasti gelaran juara bertukar tangan.

Pada perlawanan terakhir menentang Wolverhampton Wanderers, Merak Jalanan akui tersentak dengan gol awal daripada Pedro Neto yang meletakkan Wolvers di hadapan seawal minit ketiga sebelum Sadio Mane menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Penyokong Liverpool sama seperti Merak Jalanan, sudah mengimpikan kejuaraan musim ini selepas The Citizens ketinggalan 2-0 menentang Aston Villa sehingga minit ke-75.

Impian kami namun musnah selepas Manchester City mencipta kejutan, menjelmakan tiga gol bermula pada minit ke-76, 78, dan 81.

Kekecewaan kami rupanya disambut dengan tawa riang daripada penyokong Manchester United. Bukan sahaja di mana-mana media sosial di Malaysia, bahkan di seantero dunia.

Biarpun gagal mengatasi Manchester City, Liverpool masih berpeluang untuk mengubat duka melalui perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 29 Mei depan.