Kumpul semua penternak bumiputera, tangani krisis bekalan ayam

Usaha mengumpulkan semua penternak ayam bumiputera seluruh negara dapat menangani krisis bekalan ayam. Gambar kecil: Mohd Fakhrulrazi
Usaha mengumpulkan semua penternak ayam bumiputera seluruh negara dapat menangani krisis bekalan ayam. Gambar kecil: Mohd Fakhrulrazi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menawarkan diri untuk mengumpulkan semua penternak ayam bumiputera seluruh negara bagi menangani krisis bekalan ayam.

Beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi menyusun dan memperkemas semula industri ternakan ayam di negara ini.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja dapat membantu dan menjana ekonomi umat Islam di negara ini, tetapi menyelesaikan isu monopoli dan kekurangan bekalan ayam di pasaran negara.

"Khidmat nasihat dan bantuan seperti pinjaman boleh diberikan oleh pihak berkaitan.

"Mungkin kita boleh mulakan dengan beberapa pengusaha kecil dan bantu mereka dari segi memasarkan dan mencari pembeli tetap," katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Mohd Fakhrulrazi berkata, kerjasama juga turut membabitkan jabatan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan jabatan lain.

Selain itu, katanya, kerajaan dicadang membuat program khusus bagi menghasilkan pengeluaran makanan ayam sendiri dan mengurangkan kebergantungan import.

Jelasnya, usaha itu penting untuk memastikan harga ayam dapat dikawal dan dijual pada harga murah kepada pengguna akhir.

"Ini kerana harga tinggi bagi bekalan makanan ayam yang diimport pastinya memberi kesan kepada kenaikan ayam itu sendiri," katanya.