38 kes buli di sekolah dalam tempoh 4 bulan

Foto hiasan. Gambar kecil: Abd Jalil
Foto hiasan. Gambar kecil: Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 38 kes buli berlaku di sekolah-sekolah di negara ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bermula Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah itu, lapan kes dilaporkan di Pahang, manakala tujuh kes di Terengganu.

Menurut beliau, bagi Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan pula masing-masing merekodkan empat kes.

“Selebihnya adalah Selangor (tiga), Johor (dua), Kedah (dua), Kuala Lumpur (dua) dan Perlis sebanyak dua kes,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Abd Jalil menasihatkan ibu bapa untuk mengambil berat akan kes buli selain pemantauan oleh pihak sekolah dalam menentukan disiplin pelajar agar sentiasa terpelihara.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan lagi penglibatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk memastikan tiada elemen kongsi gelap yang cuba masuk ke sekolah dalam merekrut ahli baharu dalam kalangan pelajar.

“Akhir sekali, PDRM mengalukan apa jua maklumat yang boleh dikongsi bersama bagi menjadikan sekolah tempat selamat bagi pelajar menuntut ilmu,” ujarnya.

Pada 18 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan kehadiran PPS daripada kalangan pegawai dan anggota PDRM di 10,218 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan untuk mencegah kes jenayah termasuk kes buli melibatkan pelajar.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian buli di sekolah-sekolah sering kali didengari dan masih menjadi keutamaan dalam usaha pencegahan bagi pihaknya.

Kata Aidi, kejadian buli mewujudkan gejala samseng atau gengsterisme yang mana kejadian itu berlaku dengan adanya laporan polis dan juga mangsa yang mengalami kecederaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menerima tiga laporan berkait kejadian pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di Nilai yang dipercayai dicederakan pelajar senior.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pentadbiran atau pengurusan mana-mana sekolah yang cuba menyorokkan kejadian buli jika berlaku di institusi pendidikan itu bagi menjaga imej sekolah mereka.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihak sekolah sebaliknya diminta lebih telus melaporkan maklumat atau kejadian berkaitan buli bagi membantu menyelesaikan masalah kerana ia melibatkan keselamatan pelajar.