Kelayakan Piala Asia 2023: Junior sedia sertai Harimau Malaya

Pemain bola sepak Harimau Malaya ketika menjalani Kem Latihan Pusat Skuad Kebangsaan di Wisma FAM, pada Isnin. - Foto Bernama
Pemain bola sepak Harimau Malaya ketika menjalani Kem Latihan Pusat Skuad Kebangsaan di Wisma FAM, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN pertahanan negara, Junior Eldstal sudah bersedia menyertai skuad Harimau Malaya menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 selepas pulih daripada kecederaan dialaminya tahun lepas.

Junior berkata, beliau mendapatkan khidmat jurulatih dari Australia sejak sebulan lepas untuk memastikannya kembali cergas dan bersedia memberikan aksi cemerlang sekali gus terpilih dalam skuad akhir yang bakal diumumkan ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon.

"Sudah semestinya saya boleh berada dalam pasukan negara ketika ini kerana sudah mendapatkan khidmat penolong jurulatih daripada Australia di Bangkok sebagai persediaan sebulan lepas untuk fisioterapi bagi memulihkan kecederaan.

"Saya berharap dapat membantu Pan Gon (dalam kejohan berkenaan) dan paling penting macam dikatakan beliau memanggil 30 pemain jadi beliau berhak memilih yang terbaik... Tugas kami (pemain) adalah hormat dan memberi 100 peratus semasa sesi latihan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma FAM, pada Isnin.

Pemain tengah kacukan Malaysia-Sweden yang beraksi bersama Chonburi FC di Liga Thailand itu mengalami kecederaan di bahagian perut semasa kempen Piala AFF 2020 di Singapura.

Junior pada masa sama berkata, beliau meletakkan kepercayaan tinggi terhadap perancangan Pan Gon yang dilihat mempunyai wawasan dan hala tuju bagi pasukan dalam menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 itu.

"Sebelum saya datang, jurulatih (Pan Gon) mengadakan Zoom dengan saya selama dua jam bagi memberitahu perancangan untuk saya dan pasukan, jadi ia bagus sebab (saya) boleh tahu bagaimana perancangan beliau,” katanya.

Harimau Malaya akan beraksi pada perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei pada 27 Mei ini, diikuti Hong Kong pada 1 Jun bagi menilai tahap kesediaan skuad kebangsaan sebelum menyertai pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Pada aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan E akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Bernama