Liga Premier: TFC II buru tiga mata di Kuching

TFC II bakal berdepan Kuching City bagi aksi tertunda Liga Premier di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.
TFC II bakal berdepan Kuching City bagi aksi tertunda Liga Premier di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll) Badrul Afzan Razali mahu anak buahnya meneruskan momentum kemenangan apabila berdepan Kuching City bagi aksi tertunda Liga Premier di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.

Dengan pusingan pertama liga hanya berbaki dua perlawanan, jurulatih kelahiran Kemaman itu menuntut pemain supaya memperagakan persembahan terbaik seperti yang dipamerkan ketika melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) II di laman sendiri Jumaat lalu.

"Saya mahu lihat keghairahan dan semangat juang tinggi yang ada pada diri pemain ketika menentang JDT ll itu, kita bawa pula ke Kuching.

"Misi kita seperti biasa untuk bawa pulang tiga mata dari tempat lawan untuk perbaiki serta perkukuh kedudukan dalam liga sebelum berakhirnya pusingan pertama bulan depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak, pada Ahad.

Skuad The Turtles kini menghuni tangga keempat liga dengan kutipan 13 mata diikuti Kuching City FC di tangga kelima dengan 11 mata.

Bagaimanapun pada masa sama, Badrul Afzan turut mengingatkan para pemain supaya tidak terlampau selesa dan memandang mudah ancaman skuad bimbingan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Katanya, para pemain perlu bersedia dan menjangkakan cabaran daripada semua sudut pada pertemuan malam esok.

"Untuk perlawanan malam esok agak lega juga kerana kita dapat turunkan tiga import. Argzim (Argzim Redzovic) dah dapat kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan akibat kad merah.

"Selain itu, lima pemain dari skuad Terengganu FC (TFC) iaitu Hakimi, Faiz Nasir, Engku Nur Shakir, Rahmat dan Zuasyraf juga telah mendapat pelepasan dari Ketua Jurulatih Nafuzi untuk membantu TFC ll malam esok," katanya. - Bernama