M Rail dapat kontrak Kementerian Pengangkutan bernilai RM531.39 juta

Kontrak penyelenggaraan bernilai RM531.39 juta ke atas 35 tren milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB). Gambar 123RF.
Kontrak penyelenggaraan bernilai RM531.39 juta ke atas 35 tren milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB). Gambar 123RF.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Subsidiari 70 peratus milik Destini Bhd, M Rail Technics Sdn Bhd (M Rail) telah menerima kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Tahap Empat bernilai RM531.39 juta ke atas 35 tren milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) daripada Kementerian Pengangkutan untuk empat setengah tahun yang akan datang.

Destini dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan kejayaan ini, syarikat berkenaan telah mengambil langkah penting dalam meningkatkan kedudukan serta keupayaannya dalam industri kereta api.

"MRO tahap empat untuk kereta api elektrik adalah amalan penting yang perlu dibuat berdasarkan masa operasi kereta api atau kilometer dalam perkhidmatan. Dalam konteks ini, tren elektrik perlu menjalani MRO tahap empat bagi memastikan keselamatan serta kebolehpercayaannya semasa perkhidmatan.

"Setiap set kereta api akan menjalani aktiviti MRO yang komprehensif yang terdiri daripada pembongkaran lengkap komponen utama, pemeriksaan terperinci dan penggantian bahagian seperti yang diperlukan," katanya.

M Rail merupakan anak syarikat usaha sama 70: 30 antara Destini dan KTMB Technics Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh KTMB, dan ia ditubuhkan dengan tujuan menyediakan perkhidmatan MRO yang berat untuk segmen kereta api di Malaysia dan mungkin di rantau ini.

Melangkah ke hadapan, Destini merancang untuk mengukuhkan keupayaannya dalam segmen kereta api dengan memanfaatkan perkongsiannya dengan KTMB serta rakan teknikal lain seperti Siemens Mobility Sdn Bhd dan PT Industri Kereta API yang dimiliki Indonesia.

"Kerjasama ini akan membolehkan Destini mengambil bahagian dalam lebih banyak tender rel tempatan dan serantau," katanya.- Bernama