X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

[VIDEO] Jawi tidak tangkap kaki judi dalam sebulan

Datuk Idris Ahmad
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan melakukan pendekatan berbeza berbanding sebelum ini dalam usaha menyelamatkan golongan kaki judi yang beragama Islam daripada terus terjerumus ke lembah dosa.

Sebagai permulaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sudah mengarahkan supaya Jawi meletakkan beberapa pegawai dan penguat kuasa melakukan pemantauan serta memberikan nasihat terus kepada umat Islam yang memasuki premis judi di seluruh Wilayah Persekutuan.

Idris yang juga Naib Presiden Pas berkata, pemantauan itu akan dilakukan dalam tempoh sebulan bagi melihat keberkesanannya.

"Tindakan berkenaan perlu kerana orang kata kaki judi ini umpama orang bela 'hantu raya', kalau mereka tengok ada 'ustaz' di situ mereka tidak akan masuk ke premis perjudian berkenaan.

"Jawi juga tidak akan tangkap mereka (orang membeli nombor ekor) susulan pendekatan itu kurang berkesan, sebaliknya kita kena bantu mereka mengurangkan ketagihan terhadap amalan berjudi.

"Pendekatan ini perlu kerana kita memerlukan strategi dakwah baharu yang mampu menyelesaikan masalah terbabit," katanya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sebuah hotel di Bangi pada Isnin.

Dalam pada itu Idris berkata, pendekatan itu perlu dilakukan kerana ramai dalam kalangan kaki judi terdiri daripada golongan susah dan berpendapatan rendah.

"Kita kena kaji kenapa mereka berjudi? Adakah kerana mereka susah sangat dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Kalau betul mereka betul-betul susah, Jawi kena bantu mereka kerana kita mahu melaksanakan dakwah bagi menyelesaikan masalah.

"Saya pernah berjumpa dengan seorang kaki judi yang menjelaskan mereka hanya beli nombor ekor RM1 kerana hidup susah, jika untung sabut timbul dan kalau untung batu tenggelam.

"Sebab itulah saya meminta Jawi supaya menempatkan pegawai dan kereta jabatan itu di hadapan premis kedai nombor ekor untuk mengenal pasti dan melakukan dakwah secara berkesan kepada golongan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Idris juga mengarahkan Jawi supaya mengumpul data dan berdakwah sambil membantu golongan pelacur supaya mereka dapat keluar daripada kegiatan tidak bermoral terbabit.

Beliau berkata, Jawi juga boleh menghulurkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan sesuai untuk membantu golongan tersebut.

"Kita juga boleh memberikan modal supaya mereka dapat memulakan perniagaan kecil-kecilan sekali gus menyelamatkan mereka daripada terus terjebak dengan kegiatan pelacuran pada masa depan.

"Kita mahu selamatkan dua golongan ini. Jika tidak saya rasa berdosa dan akan menjawab dengan ALLAH SWT kerana gagal melaksanakan tugas diamanahkan kepada saya," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!