Dulu Suzuki, kini Mitsubishi Electric

Khiev (kiri) bergambar bersama Seki ketika majlis pengumuman penajaan Mitsubishi Electris sebagai penaja utama Piala AFF.
Khiev (kiri) bergambar bersama Seki ketika majlis pengumuman penajaan Mitsubishi Electris sebagai penaja utama Piala AFF.
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan syarikat pembuatan peralatan elektronik dan elektrik Jepun, Mitsubishi Electric sebagai penaja rasmi kejohanan bola sepak Piala AFF 2022.

Presiden AFF, Major Jeneral Khiev Sameth berkata, Piala AFF edisi ke-14 yang dijadualkan bermula pada Disember depan, akan dikenali sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

"Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan Mitsubishi Electric sebagai penaja baharu kejohanan.

“Memandangkan Kejohanan AFF susah memasuki edisi ke-14, satu perubahan perlu dilakukan bagi menghadapi cabaran seterusnya.

“Objektif kami ketika ini adalah untuk terus membangunkan serta membentuk masa depan bola sepak serantau melalui platform Kejohanan AFF seiring dengan misi Mitsubishi misi elektrik.

“Saya optimis penajaan bersama Mitsubishi Electrics ini mampu untuk membawa pertandingan ini ke satu tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, pertandingan bola sepak berprestij di Asia Tenggara itu dikenali sebagai Piala Suzuki AFF apabila syarikat automotif dari Jepun itu bersetuju untuk menjadi penaja kejohanan itu pada tahun 2007.

Sementara itu, Ketua Perwakilan Wilayah Asia Pasifik, Mitsubishi Electric Corporation, Kunihiko Seki berkata, sejak dunia kembali dibuka selepas penularan Covid-19, pihaknya teruja untuk menjadi penaja Kejuaraan AFF selain menyokong sepenuhnya visi bdan induk bola sepak Asia Tenggara itu.

“Selama lebih 50 tahun, Mitsubishi Electric membekalkan pelbagai produk, daripada elektronik rumah kepada peralatan perindustrian dan komersial, ke rantau Asia Pasifik, Hari ini, kami terus berusaha ke arah matlamat kami untuk menyumbang kepada masyarakat dengan merealisasikan persekitaran global yang mampan.

“Kami tidak sabar untuk membina masa depan yang lebih baik bersama-sama dengan AFF.

“Kami berharap kami dapat membawa keseronokan dan kegembiraan kepada orang ramai melalui penajaan ini,” katanya.