X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Sokongan Malaysia terhadap Palestin, semua negara Islam perlu senada

Walid Abu Ali
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini adalah mesej yang jelas kepada semua negara Islam supaya bersatu dalam membela rakyat Palestin yang tertindas, kata Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Beliau menyeru negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab serta semua negara yang percaya kepada demokrasi dan hak asasi manusia untuk mengambil tindakan yang sama serta menggunakan pengaruh mereka untuk memberi tekanan serius ke atas Israel.

"Bersatulah untuk sekali ini demi memberi harapan kepada rakyat Palestin, agar mereka merasakan perjuangan mereka disokong oleh 1.7 bilion saudara Islam di seluruh dunia.

"Saya tahu sokongan paling kuat yang boleh kita peroleh daripada negara Arab dan Islam hanyalah dengan mengutuk pencerobohan Israel. Itu tidak mencukupi.

"Malaysia tidak ragu-ragu untuk melakukan yang terbaik, tetapi Malaysia sahaja tidak boleh melakukannya. Kita memerlukan negara lain untuk lakukan perkara yang sama. Tiada sebab mengapa negara lain tidak boleh melakukannya," katanya dalam program bual bicara bertajuk ‘Bicara Khas: Keadilan untuk Palestin’ di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Ahad malam.

Semasa pertemuan pemimpin ASEAN dengan Presiden Joe Biden pada sidang kemuncak khas di Washington D.C. pada 13 Mei, Ismail Sabri telah meminta AS bersikap jujur dan telus dalam ​menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

"Kekejaman Israel perlu dihentikan. AS perlu jujur selesai isu itu. Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita mahukan tindakan yang sama diambil terhadap isu Palestin,” kata Perdana Menteri.

Beliau menegaskan bahawa Israel terus melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa menyaksikannya setiap hari, namun tiada tindakan konkrit diambil untuk menghentikan kekejaman Israel.

"Eropah dan AS berjaya mengenakan sekatan terhadap Rusia atas apa yang berlaku di Ukraine. Kenapa tidak sekalipun ia dilakukan terhadap Israel?

"Rakyat Palestin sangat kecewa dan kami percaya kami telah diabaikan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan di Asia Barat hanya boleh dicapai jika rakyat Palestin mendapat hak mereka dan Israel tidak mungkin menikmati keamanan tanpa menamatkan penderitaan Palestin.

"Isu Palestin adalah isu teras. Isu Palestin adalah asas kepada mana-mana penyelesaian di rantau ini,” kata Abu Ali. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!