X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Kerajaan Sabah lancar tabung pendidikan negeri bulan depan

Hajiji menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Guru 2022, Datuk Dr Nuinda Alias (kanan) sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Isnin. - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bulan depan bagi memberi peluang kepada anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di dalam atau luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan itu adalah inisiatif Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015-2023, selaras dengan salah satu teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan negeri juga komited untuk meneruskan dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan pada 2021 iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM17.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Mohamad Alamin, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Tah Nia Jaman.

Ketua Menteri berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam di Sabah dengan memperuntukkan sebanyak RM47 juta kepada sekolah terlibat, mubaligh dan sekolah persendirian.

Dalam pada itu, Hajiji mahu warga pendidik di Sabah agar terus menjadi tonggak yang kukuh dalam melahirkan kemenjadian murid dan menyokong kepada membina Sabah Maju Jaya melalui sistem pendidikan yang sejahtera serta berkualiti.

Beliau berkata, sejajar dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’, kerajaan yakin dan percaya bahawa dengan adanya guru yang berkualiti tinggi, bangsa dan negara akan mencapai kecemerlangan serta kegemilangan.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepada Datuk Dr Nuinda Alias dan Anugerah Tokoh Kepimpinan kepada Madaile Basri, selain melancarkan Buku Tawag Tokoh Guru Sabah terbitan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya mahu kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah seperti yang telah diperuntukkan dalam Bajet 2022 sebanyak RM1 bilion. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!