DSP Kenneth James, pemburu Botak Chin meninggal dunia

Acryl Sani dan Razarudin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. - Foto Facebook PDRM
Acryl Sani dan Razarudin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. - Foto Facebook PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai kanan polis, pesara Deputi Superintendan (DSP) Kenneth James Woodworth, 89, yang terbabit dalam memburu penjenayah Botak Chin, meninggal dunia akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada Ahad.

Kenneth James adalah di antara 12 pegawai Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang dipilih khas menganggotai kumpulan dinamakan 'Magnificient 12'.

Kumpulan itu ditubuhkan bagi memburu penjenayah Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

"Jasad mendiang akan dibawa ke Gereja Holy Rosary di sini pada hari ini dan esok bermula 9 pagi sehingga 9.30 malam untuk penghormatan terakhir.

"Sesungguhnya jasa dan bakti yang dicurahkan beliau akan sentiasa dikenang sepanjang zaman dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat pasukan serta negara," menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PDRM.

Mendiang menyertai PDRM pada Mei 1953 dan bersara pada April 1988 meninggal dunia pada usia 89 tahun.

Selain kes Botak Chin, mendiang turut terbabit dalam memerangi pelbagai jenayah besar termasuk Kepong Chai.

Sejak kematian isterinya, Joan Sylvia Maureen, lima tahun lalu, mendiang yang mempunyai masalah buah pinggang, mengambil keputusan untuk tinggal di pusat penjagaan persendirian di pinggir ibu kota.