Piala Asia: Malaysia bermula langkah kanan

Aksi Malaysia menentang Oman dalam saingan pembukaan Kumpulan B Piala Asia 2022 di Jakarta pada Isnin. - Foto FB MHC
Aksi Malaysia menentang Oman dalam saingan pembukaan Kumpulan B Piala Asia 2022 di Jakarta pada Isnin. - Foto FB MHC
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara memulakan aksi pembukaan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia dengan penuh bergaya selepas membelasah Oman 7-0 pada Isnin.

Dalam aksi di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu, Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira apabila mencetak hatrik, sekali gus membantu mengutip tiga mata pertama buat Speedy Tigers yang diletakkan dalam Kumpulan B.

Babak pertama perlawanan menyaksikan skuad bimbingan A Arul Selvaraj membuka jaringan hasil pukulan sudut penalti Muhammad Razie seawal minit keenam.

Muhammad Razie terus mengukir kegembiraan skuad negara selepas menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti.

Oman yang dibimbing bekas pemain negara, Lim Chiow Chuan terus dihukum selepas Muhammad Razie menjaringkan gol ketiga hasil penalti stroke pada minit ke-19.

Penyerang berbisa, Faizal Saari kemudian memberi keselesaan buat skuad negara selepas menjaringkan gol padang pada minit ke-23 menjadikan kedudukan 4-0 selepas tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, giliran Muhammad Shahril Saabah, Faiz Helmi Jali dan Mohamad Ashran Hamsani masing-masing menyumbat satu gol bagi menoktahkan kemenangan Speedy Tigers.

Malaysia akan meneruskan cabaran berdepan pasukan pilihan, Korea Selatan pada Selasa sebelum bertemu Bangladesh Khamis ini bagi mengakhiri saingan Kumpulan B.