Angka global penduduk berpindah akibat konflik lepasi 100 juta

Angka penduduk yang terpaksa berpindah, melarikan diri, pencabulan hak asasi manusia dan penganiayaan serta keganasan sudah melebihi 100 juta. - Foto hiasan 123RF
Angka penduduk yang terpaksa berpindah, melarikan diri, pencabulan hak asasi manusia dan penganiayaan serta keganasan sudah melebihi 100 juta. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

MOSCOW - Angka penduduk yang terpaksa berpindah, melarikan diri, pencabulan hak asasi manusia dan penganiayaan serta keganasan sudah melebihi 100 juta, dengan konflik di seluruh dunia memburukkan lagi keadaan, lapor Sputnik.

Menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Isnin, menjelang akhir 2021, bilangan orang yang terpaksa berpindah meningkat sehingga 90 juta disebabkan gelombang baharu keganasan atau permusuhan berterusan di Afghanistan, Burkina Faso, Ethiopia, Myanmar, Nigeria dan Republik Demokratik Congo.

Sejak tiga bulan lalu, konflik di Ukraine menyebabkan 14 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, termasuk enam juta mencari suaka di luar negara dan lapan juta hilang menjadi pelarian domestik.

"Seratus juta adalah angka yang besar dan membimbangkan. Ia rekod yang tidak sepatutnya berlaku dan menyedarkan kita untuk bangkit menyelesaikan dan mencegah konflik, menamatkan penganiayaan dan menangani punca asas yang memaksa penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka," kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian, Filippo Grandi dalam satu kenyataan.

Jumlah keseluruhan orang yang terpaksa berpindah kini melebihi satu peratus daripada populasi global, dan angka itu setanding dengan saiz populasi Mesir, yang menduduki tempat ke-14 negara paling ramai penduduk di dunia.

Lebih separuh daripadanya terpaksa berpindah manakala bilangan pelarian dan pencari suaka berjumlah 46.8 juta.

Beliau berkata, bantuan kemanusiaan bukanlah penyelesaian muktamad kepada krisis pelarian.

Katanya, satu-satunya penyelesaian terbaik ialah mewujudkan semula keamanan dan kestabilan supaya rakyat yang tidak bersalah tidak lagi perlu menanggung penderitaan. - Bernama