X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Ayam licin tak sampai 15 minit

Bekalan ayam potong habis dijual dalam 15 minit sebaik ia tiba di pasar raya. (Gambar kecil dari kiri: Norhayani, Dalilah)
A
A

SHAH ALAM - Bekalan ayam mentah di sebuah pasar raya di Seksyen 30, di sini hampir habis selepas 15 minit dijual.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di sini pada Isnin mendapati bekalan ayam mentah mula berkurang sejak beberapa hari lalu.

Hasil tinjauan turut mendapati setiap pelanggan hanya boleh membeli seekor atau dua ekor ayam di pasar raya tersebut.

Bagaimanapun, harga ayam mentah yang dijual masih berada di bawah harga siling iaitu sekitar RM8.90 hingga RM8.99 sekilogram (kg).

Salah seorang pekerja pasar raya di Seksyen 30 yang ingin dikenali sebagai Aina berkata, sebanyak 100 ekor ayam mentah dihantar ke premis itu pada Isnin setelah pihaknya tidak menerima sebarang stok bahan mentah berkenaan pada Ahad.

Bekalan ayam baru tiba di sebuah pasar raya di Seksyen 30, di sini hampir habis selepas 15 minit.
Bekalan ayam baru tiba di sebuah pasar raya di Seksyen 30, di sini hampir habis selepas 15 minit.

"Bekalan ayam baru sampai tadi, sekarang dah tinggal sedikit. Semalam mereka tidak hantar (ayam), tapi hari ini kita terima sekitar 100 ekor.

"Tapi nampaknya tidak sampai sejam atau dua jam lagi ia akan habis," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Seorang pekerja restoran di Seksyen 30, di sini, Yong Mahfuzah Kasim, 60, berkata, pihak pembekal tidak lagi membekalkan ayam mentah ke premisnya sejak beberapa hari lalu.

Oleh itu, dia dan beberapa pekerja lain terpaksa ke beberapa buah pasar raya dan kedai bagi mendapatkan bekalan ayam untuk memasak juadah di restoran.

"Restoran kami gunakan lebih 20 ekor ayam untuk memasak, tapi sekarang nak dapatkan 10 ekor ayam pun susah.

"Banyak menu di restoran seperti nasi ayam dan ayam penyet tidak boleh dijual, semoga isu ini diselesaikan secepat mungkin," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengguna, Dalilah Ahmad Dalil, 51, sempat membeli seekor ayam setelah bekalan barangan mentah tersebut sampai di pasar raya berkenaan.

Dia yang tinggal bersama suami dan dua orang anak menghadapi masalah untuk memasak juadah di rumah apabila pembelian ayam dihadkan kepada dua ekor seorang sahaja.

"Setiap minggu memang saya beli ayam untuk anak-anak dan buat stok ayam.

"Susah juga bila dah hadkan pembelian kerana ada masanya saya nak masak dalam kuantiti yang banyak. Saya nak buat sup, tapi kaki ayam pula habis," katanya yang tinggal di Bukit Rimau, Seksyen 32, di sini.

Harga ayam di sebuah pasar raya di Seksyen 31, di sini masih kekal pada harga siling iaitu RM8.90 sekilogram, namun ia dihadkan kepada dua ekor seorang.
Harga ayam di sebuah pasar raya di Seksyen 31, di sini masih kekal pada harga siling iaitu RM8.90 sekilogram, namun ia dihadkan kepada dua ekor seorang.

Pengguna lain, Norhayani Haddunya, 45, berkata, had pembelian ayam yang ditetapkan menyukarkan penyediaan juadah harian keluarga memandangkan dia mempunyai empat orang anak.

"Selalunya kalau ke pasar raya, saya akan beli sebanyak tiga hingga empat ekor ayam untuk dijadikan bekalan.

"Jadi bila mereka hadkan kepada dua ekor ayam satu keluarga, saya terpaksa ke pasar raya setiap hari untuk membeli ayam.

"Ada anak saya yang tidak gemar makan makanan laut, jadi bila tidak ada ayam, terpaksalah saya goreng telur," luah suri rumah itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!