X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Piala Asia: Speedy Tigers lepasi halangan Oman

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Oman dalam aksi pembukaan Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia pada Isnin. - Foto Facebook Konfederasi Hoki Malaysia
A
A

SKUAD hoki lelaki kebangsaan memulakan aksi pembukaan Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia dengan penuh bergaya selepas membelasah Oman 7-0, pada Isnin.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu, pemain pertahanan Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira, apabila mencetak hatrik sekali gus membantu mengutip tiga mata pertama buat pasukan negara yang diletakkan dalam Kumpulan B.

Babak pertama perlawanan skuad bimbingan A Arul Selvaraj membuka jaringan hasil pukulan sudut penalti Muhammad Razie pada minit keenam.

Muhammad Razie terus mengukir kegembiraan skuad negara selepas menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti.

Babak kedua perlawanan, pasukan Oman dibimbing Lim Chiow Chuan terus dihukum selepas Muhammad Razie menjaringkan gol ketiga juga hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

Pemain tengah Faizal Saari kemudian memberi keselesaan buat pasukan selepas menjaringkan gol padang pada minit ke-23 menjadikan kedudukan 4-0 meninggalkan Oman.

Pada minit ke-34, giliran Muhammad Shahril Saabah menambah gol buat negara menerusi jaringan padang.

Skuad negara dalam masa sama menambah dua lagi gol menerusi Faiz Helmi Jali pada minit ke-40 dan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-48 masing-masing hasil gol padang bagi menoktahkan kemenangan buat negara.

Malaysia akan meneruskan cabaran esok berdepan pasukan Korea Selatan esok, sebelum bertemu Bangladesh pada Khamis ini dalam saingan Kumpulan B. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!