X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

443,722 peminjam nikmati insentif diskaun PTPTN

Sebanyak RM1.9 bilion bayaran balik diterima oleh PTPTN. Gambar kecil: Ahmad Dasuki Abdul Majid
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM1.9 bilion bayaran balik diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan seramai 443,722 peminjam menikmati insentif diskaun berjumlah RM206.89 juta.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, ia susulan kerajaan bersetuju memberikan insentif diskaun bayaran balik kepada peminjam bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022.

“PTPTN merakamkan penghargaan kepada semua peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman sekali gus menikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang telah berakhir pada 30 April 2022 lalu.

“Ini membuktikan sokongan peminjam terhadap usaha kerajaan dan PTPTN dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan untuk masa depan generasi akan datang dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman mereka.

“Terima kasih juga kepada pihak kerajaan yang sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan peminjam PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, PTPTN berharap kerjasama dan sokongan padu daripada semua peminjam dalam menunaikan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik dikekalkan bagi meneruskan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

“Ini untuk memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Dasuki berkata, PTPTN memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada para peminjam.

“Terkini bayaran balik pinjaman dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi myPTPTN yang boleh dimuat turun di telefon mudah alih melalui platform pengedaran digital seperti App Store bagi pengguna iOS, Play Store bagi pengguna Android dan Huawei AppGallery bagi pengguna Huawei,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!