Ismail Sabri adakan lawatan ke Jepun, perkasa Dasar Pandang Ke Timur

Ismail Sabri.- Foto: Bernama
Ismail Sabri.- Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari bermula Isnin hingga 28 Mei ini.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Ismail Sabri dijadualkan akan bertemu rakan sejawatnya, Fumio Kishida bagi membincangkan inisiatif memperkukuh hubungan antara Malaysia-Jepun serta kerjasama dalam pelbagai bidang.

"Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak menyandang jawatan pada 2021.

"Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat dan kerjasama pasca Covid-19.

"Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu wakil komuniti perniagaan di Tokyo selain akan meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di negara itu.

Selain itu Ismail Sabri akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc.

Persidangan itu merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik dan beliau akan menyampaikan ucaptama dengan tema 'Redefining Asia’s role in a divided world'.

"Penyertaan Perdana Menteri di Persidangan Nikkei ke-27 ini akan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi idea serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang bertujuan mengembangkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara negara di rantau ini.

"Lawatan ini mencerminkan kepentingan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, selaras dengan sambutan memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan ke-40 DPT yang disambut pada tahun ini," menurut kenyataan itu.

Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri itu akan turut diiringi antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.