X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Berkumpul sempena Aidilfitri, pegang amanat Haji Ismail

Generasi ketiga dan keempat Allahyarham Haji Ismail berkumpul sempena Aidilfitri di Jitra, baru-baru ini.
A
A

ALOR SETAR - Perhimpunan keluarga guru agama Allahyarham Ismail Haron meriah dengan seramai 199 orang dari generasi ketiga dan keempat berkumpul untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri di Jitra, baru-baru ini.

Wakil keluarga tersebut, Dr Amani Abdullah Mubarak berkata, perhimpunan itu adalah manifestasi daripada pesanan Allahyarham Ismail supaya ukhwah dalam kalangan keturunannya dijaga dan diteruskan.

"Seramai 20 orang anak Allahyarham Ismail memegang perkara tersebut sebagai amanat.

"Selepas ketiadaan Allahyarham, perjumpaan keluarga mesti diadakan dan dipersetujui oleh semua anak-anak dari tiga isteri Allahyarham. Mereka menetapkan perjumpaan diadakan secara dwi tahunan pada hari raya Aidilfitri," katanya kepada Sinar Harian.

Amani yang juga cucu kepada Allahyarham berkata, perjumpaan kali ini menghimpunkan seramai 199 orang saudara mara daripada 288 ahli keluarga. Seramai 12 orang pula telah kembali ke rahmatullah.

"Rata-rata merupakan generasi ketiga dan empat merangkumi ahli keluarga yang berada di serata pelusuk negara. Mereka yang berada di luar negara juga pulang susulan sempadan negara kembali dibuka," katanya.

Tambah Amani, antara pengisian program sempena pertemuan itu adalah aktiviti melibatkan kanak-kanak, bacaan surah Yassin dan perkongsian ilmu serta perkembangan keluarga, kuiz dalam talian dan pelbagai acara menarik.

"Kesayuan pada kali ini terasa kerana beberapa ahli keluarga ada yang pulang ke rahmatullah dengan didahului oleh bapa saya, Allahyarham Abdullah Mubarak, Allahyarham Abdul Halim dan terbaharu Allahyarham Abdul Raof," katanya lagi.

Ismail dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar sekitar tahun 1920-an dan mendapat pendidikan awal di Kuala Kangsar.

Berbekalkan sijil dari Maahad Idrisiyah, Kuala Kangsar, beliau diterima bekerja sebagai seorang guru agama.

Selepas berkahwin dengan Teh Shamsiah, beliau berpindah ke Titi Gajah,Kedah.

Di Kedah, beliau bekerja di beberapa buah sekolah antaranya di Bandar Baru, Serdang, Semeling dan Jitra.

Ismail meninggal dunia pada 17 Mei 1993.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!