'MB Kedah memalukan penyokong Kenari'

Asmirul Anuar Aris
Asmirul Anuar Aris
A
A
A

KENYATAAN Menteri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membabitkan isu 'tokong' dalam sukan bola sepak didakwa telah memalukan rakyat negeri ini terutamanya penyokong Sang Kenari.

Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris berkata, semua maklum siapa yang dimaksudkan oleh Muhammad Sanusi walaupun beliau tidak menamakan individu tersebut.

Menurutnya, Presiden KFA itu perlu fokus kepada pasukan sendiri kerana masih belum ada sebarang kejayaan diraih dalam tempoh dua tahun pemerintahannya.

"Sebagai rakyat Kedah, ramai yang tidak setuju dan malu dengan tindakan MB Kedah. Boleh dilihat reaksi tersebut di media sosial.

"Beliau seharusnya mempunyai adab dan bukannya mencari masalah dengan pihak lain. Orang tahu siapa yang dimaksudkannya itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau turut mempersoal mengenai kejayaan yang diraih oleh pasukan bola sepak Kedah sepanjang dua tahun Muhammad Sanusi menjadi MB Kedah dan juga Presiden KFA.

"Apa yang kita lihat adalah aksi tidak konsisten Kedah Darul Aman (KDA) FC.

"Jangan sibuk dengan pasukan orang lain sebab pasukan sendiri pun sekarang tidak konsisten," katanya.

Mengulas lanjut, Asmirul Anuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata, tindakan Muhammad Sanusi juga memberikan kesan kepada Sang Kenari apabila Syafiq Ahmad yang sedang berada prestasi baik bersama Sang Kenari telah dipanggil semula oleh JDT.

Jelasnya, jika individu yang dimaksudkan oleh Muhammad Sanusi itu adalah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, maka kenyataan yang dibuatnya adalah tidak wajar.

"Kita boleh tidak berbeza pendapat namun ada batas dan perkataan yang sesuai perlu digunakan. Saya pun tidak setuju dengan tindakan JDT yang mengambil pemain Kedah suatu ketika dahulu tanpa datang berbincang dengan kita.

"Tapi dari satu sudut kejayaan dan kemajuan dalam bola sepak memang JDT berada di hadapan selain telah beraksi di pentas Asia Champion League (ACL).

"Dari sudut ini memang JDT menjadi contoh dan ukuran kepada pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia," ujarnya.

Asmirul Anuar berkata, penyokong Kedah lebih berminat untuk mengetahui persiapan KDA FC pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia selepas kehilangan Syafiq.

"Apa yang pasti, ketiadaan Syafiq mengganggu taktikal pengendali Aidil Sharin Sahak bagi memperkuatkan pasukan selepas Liga Malaysia kembali disambung pada pertengahan Jun depan," katanya lagi.